Delegasi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor Tinjau Pendekatan Yayasan Sarawak Perkasa Ekosistem Pendidikan
KUCHING: Delegasi Kerajaan Negeri Johor mengadakan lawatan penanda aras ke Ibu Pejabat Yayasan Sarawak di Wisma Adenan, di sini, pada Selasa, bagi meninjau pendekatan dan amalan terbaik dalam memperkasa akses pendidikan, pengurusan pembiayaan, pembangunan bakat dan pembinaan modal insan mampan.
Delegasi yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali itu turut diberi pendedahan mengenai pelbagai inisiatif strategik Yayasan Sarawak dalam membangunkan modal insan.
Ketibaan delegasi disambut Pengarah Yayasan Sarawak, Datu Mohamad Junaidi Mohidin bersama pihak pengurusan kanan Yayasan Sarawak.
Semasa sesi taklimat korporat, Yayasan Sarawak berkongsi evolusi dan pencapaiannya, termasuk pelaksanaan Inisiatif Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) di institusi milik penuh Kerajaan Sarawak.
Perkongsian turut merangkumi ekosistem institusi pendidikan di bawah Yayasan Sarawak Education Group (YSEG), skim biasiswa, bursari dan pembiayaan pendidikan serta pelbagai bantuan sokongan pelajar dan kebajikan komuniti.
Selain itu, delegasi turut diberi penerangan mengenai usaha pendigitalan perkhidmatan pelajar menerusi platform seperti my-Yayasan portal semakan dan permohonan APPLY@YS serta kerjasama saluran bayaran tanpa tunai bersama S-Pay Global, selain kerjasama strategik bersama pemain industri teknologi tinggi serta kementerian dan agensi berkaitan.
Lawatan penanda aras selama kira-kira satu jam itu membuka ruang bermakna kepada kedua-dua pihak dalam memperkukuh saluran perkongsian ilmu antara negeri demi memacu kecemerlangan generasi muda. -EDISI UKAS