SUK Sarawak Sertai Sesi Santai Pickleball SKS Mukah
MUKAH: Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki bersama isteri, Dato Baduyah Bujang menyertai Sesi Santai Pickleball sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Mukah di Gelanggang Pickleball Dewan Suarah Mukah, di sini pada Khamis.
Penyertaan itu mencerminkan pendekatan SKS dalam mewujudkan ruang interaksi yang lebih santai dan dekat antara kepimpinan perkhidmatan awam dengan warga Perkhidmatan Awam Sarawak.
Sesi berkenaan turut memberi peluang kepada pegawai dan kakitangan untuk beriadah bersama, selain memupuk semangat berpasukan, mengeratkan hubungan kerja serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat.
Aktiviti pickleball merupakan antara pengisian SKS Bahagian Mukah yang menggabungkan elemen riadah dan interaksi sosial sebagai platform memperkukuh hubungan dalam kalangan warga perkhidmatan awam.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine, Timbalan Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Mohamed Faizal Shah Ali, Residen Bahagian Mukah, Bujang Rahman Seli, Timbalan Residen Mukah, Badjuri Bidin dan Pegawai Daerah Mukah, Peleadzman Ahip. -EDISI UKAS