Royston Tinjau Persiapan Akhir Program Sarawakku Sayang Mukah
MUKAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine sempat meninjau persiapan akhir menjelang Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Mukah di Dataran Pehin Setia Raja, pada Khamis.
Tinjauan itu bertujuan memastikan persiapan di lokasi termasuk susun atur tapak, kemudahan pengunjung, ruang aktiviti serta keperluan berkaitan berada dalam keadaan baik sebelum program bermula.
Beliau meninjau beberapa kawasan utama program bagi melihat sendiri tahap kesiapsiagaan tapak dan memastikan setiap ruang yang disediakan dapat digunakan dengan baik sepanjang program berlangsung.
Selain itu, beliau turut melihat persiapan hadiah untuk cabutan bertuah yang bakal diadakan sepanjang program, selain meneliti susunan serta keperluan berkaitan bagi memastikan perjalanan aktiviti berjalan lancar.
Program SKS 2026 Bahagian Mukah dijadualkan berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober ini di Dataran Pehin Setia Raja dengan pelbagai perkhidmatan dan aktiviti disediakan untuk manfaat masyarakat setempat.
Tinjauan tersebut turut memberi tumpuan kepada aspek kesediaan keseluruhan lokasi bagi memastikan program dapat berlangsung dengan teratur serta memberikan pengalaman yang selesa kepada pengunjung. - EDISI UKAS