MIRI: Sebanyak 60 petak niaga baharu akan disediakan di Sunday Market Lutong menerusi projek pembesaran fasa keempat yang kini mencapai 95 peratus siap.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada 15 Oktober ini.
“Penambahan petak niaga itu akan meningkatkan jumlah keseluruhan petak di pasar berkenaan kepada 260 petak, sekali gus menyediakan ruang perniagaan yang lebih selesa dan terlindung daripada hujan serta panas kepada para penjaja,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan di tapak projek pembesaran fasa keempat Sunday Market Lutong, di sini, pada Rabu.
Datuk Sebastian berkata, projek yang dimulakan pada 16 Julai lalu itu dilaksanakan menerusi peruntukan RM150,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026.
Katanya, Sunday Market Lutong telah melalui empat fasa pembesaran secara berperingkat dengan jumlah keseluruhan kos RM662,000 bagi memenuhi keperluan penjaja dan komuniti setempat.
Dalam pada itu, Datuk Sebastian berkata, peningkatan jumlah pengunjung dan aliran trafik ketika operasi pasar turut menyebabkan kapasiti tempat letak kereta sedia ada tidak lagi mencukupi.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya kawasan lapang bersebelahan pasar yang kini ditumbuhi semak diteroka sebagai lokasi tempat letak kereta sementara.
Bagaimanapun, katanya, semakan lanjut perlu dibuat berhubung status pemilikan tanah berkenaan bagi menentukan sama ada ia merupakan tanah kerajaan atau persendirian sebelum kebolehlaksanaan cadangan itu dikaji.-EDISI UKAS