KUCHING: Sarawak Energy akan menjalankan ujian dan penyelenggaraan berjadual bagi Sistem Amaran Banjir (FWS) di Loji Hidroelektrik Batang Ai pada Jumaat, 2 Oktober 2026.
Ujian berkenaan akan berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang sebagai persediaan menghadapi latihan kesiapsiagaan kecemasan loji yang akan datang dan sepanjang tempoh tersebut, siren amaran banjir akan dibunyikan beberapa kali, dengan setiap pengaktifan dijangka berlangsung selama kira-kira satu hingga dua minit.
Sarawak Energy memaklumkan masa dan bilangan pengaktifan siren mungkin berbeza bergantung kepada kemajuan kerja-kerja pengujian yang dijalankan.
Sehubungan itu, orang ramai serta penduduk di kawasan sekitar dinasihatkan supaya tidak cemas sekiranya terdengar bunyi siren sepanjang tempoh ujian berkenaan.
Pengaktifan siren merupakan sebahagian daripada latihan kesiapsiagaan kecemasan yang dirancang bagi memastikan sistem amaran banjir serta peralatannya berfungsi dengan baik.
Ujian dan penyelenggaraan berkala sistem berkenaan turut menjadi sebahagian daripada langkah keselamatan empangan serta kesiapsiagaan kecemasan yang dilaksanakan secara berterusan oleh Sarawak Energy.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Sarawak Energy yang beroperasi 24 jam di talian 1-300-88-3111 atau merujuk saluran rasmi Sarawak Energy untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan latihan tersebut.-EDISI UKAS