Lima Petani Terima Sokongan Melalui Projek Bantuan Hidroponik
SPAOH: Seramai lima orang petani di kawasan Betong menerima Bantuan Peralatan Hidroponik bagi membantu meningkatkan aktiviti pertanian serta produktiviti pengeluaran tanaman di kawasan berkenaan.
Sesi serahan tapak projek bantuan tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu di perkarangan Pejabat Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), Spaoh pada Khamis.
Projek bernilai RM163,500 itu merupakan projek di bawah dana BDDA, manakala Jabatan Pertanian Bahagian Betong bertindak sebagai agensi pelaksana.
Dalam pada itu, Dato Dr Richard Rapu menasihati pihak kontraktor, Qhariya Enterprise supaya menyiapkan projek berkenaan lebih awal daripada tempoh pelaksanaan yang ditetapkan.
Projek tersebut mempunyai tempoh pelaksanaan selama tujuh bulan bermula 1 Oktober 2026 hingga 3 Mei 2027.
Beliau turut menegaskan kerjasama antara penerima projek dengan Jabatan Pertanian Bahagian Betong amat penting bagi memastikan kerja-kerja pelaksanaan projek dapat dipantau dengan baik.
Sehubungan itu, penerima projek diminta supaya segera memaklumkan kepada agensi pelaksana sekiranya berlaku sebarang kelewatan atau masalah sepanjang tempoh pelaksanaan projek.
Beliau berharap bantuan yang disalurkan oleh kerajaan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penerima serta menyumbang kepada usaha memajukan sektor pertanian di Betong secara berterusan.
Turut hadir, Pegawai Pertanian Bahagian Betong, Leo Toni dan Pegawai Tadbir Khas Agensi Pembangunan Bahagian Betong, Abg Mohamed Abg Turkey.-EDISI UKAS