Lima Sekolah & JKKK Terima Dana CSR Fasa II Samarahan
KOTA SAMARAHAN: Seramai lima penerima yang terdiri daripada pihak sekolah dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sekitar Bahagian Samarahan menerima bantuan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Fasa II Tahun 2026 bagi menyokong keperluan serta pelaksanaan inisiatif komuniti.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, bantuan berkenaan diharap dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi memenuhi keperluan penerima.
“Saya berharap agar dana yang diterima dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi membantu memenuhi keperluan serta melaksanakan inisiatif yang memberi manfaat kepada warga sekolah dan komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis penyampaian cek bantuan tersebut di Bilik Mesyuarat Utama, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Samarahan pada Jumaat.
Datuk Rubiah turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terus komited menjayakan usaha CSR demi kesejahteraan masyarakat di Bahagian Samarahan.
Inisiatif CSR berkenaan mencerminkan komitmen berterusan dalam menyokong keperluan institusi pendidikan dan komuniti setempat melalui bantuan yang dapat dimanfaatkan bagi melaksanakan aktiviti serta memenuhi keperluan pembangunan masyarakat.
Turut hadir, Penguasa Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Samarahan, Ahmad Raslan Yaiyah serta Pegawai Khas Ahli Parlimen Kota Samarahan, Anuar Da'an.-EDISI UKAS