Padawan Discovery Festival Perlu Jana Peluang Ekonomi Berterusan
KUCHING: Padawan Discovery Festival perlu menjadi platform yang membuka peluang kepada perniagaan tempatan, pengusaha pelancongan, usahawan, organisasi komuniti dan golongan muda untuk membina kerjasama yang berterusan.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian berkata, nilai festival berkenaan tidak seharusnya terhad kepada penganjuran acara semata-mata, sebaliknya perlu dimanfaatkan untuk mewujudkan peluang baharu kepada komuniti dan sektor perniagaan.
“Saya percaya bahawa nilai festival ini seharusnya melangkaui acara itu sendiri. Ia wajar mewujudkan peluang bagi perniagaan tempatan, pengendali pelancongan, usahawan, pertubuhan komuniti, dan golongan muda untuk berhubung, bekerjasama, serta membina sesuatu yang dapat diteruskan walaupun festival telah berakhir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Padawan Discovery Festival 2026 di Dewan Serbaguna Kuari Ang Cheng Ho, di sini pada Jumaat.
Menurut Datuk Amar Profesor Dr. Sim, Padawan mempunyai potensi untuk membina identiti tersendiri berdasarkan kekuatan komuniti, warisan, alam semula jadi, pelancongan serta aktiviti ekonomi yang semakin berkembang.
Katanya, penganjuran festival itu merupakan antara usaha untuk menghimpunkan elemen berkenaan dalam satu platform yang dapat memperkenalkan Padawan secara lebih meluas.
Dalam pada itu, Datuk Amar Profesor Dr. Sim berkata penglibatan lebih 70 reruai serta penyertaan dari Bangladesh, Brunei, Singapura, Indonesia, Semenanjung Malaysia dan China melalui rangkaian Friendship Cities menunjukkan potensi kemudahan komuniti sebagai platform jaringan perniagaan, pertukaran budaya dan kerjasama antarabangsa.
Beliau turut menggalakkan pemain industri dan komuniti melihat peluang yang boleh dibangunkan menerusi jaringan tersebut, selain mengenal pasti bidang yang mempunyai kekuatan serta kelebihan untuk diketengahkan.
Menurutnya, pendekatan itu selaras dengan usaha membangunkan Sarawak secara strategik dengan memanfaatkan peluang dalam sektor perniagaan, pelancongan, teknologi, pembuatan dan perkhidmatan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Nur Nabilla & Douglas Demong