Premier Sarawak Tunai Solat Jumaat, Mulakan Program Lawatan Kerja Rasmi Di Mukah
MUKAH: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg tiba di Masjid Setia Raja Mukah bagi menunaikan Solat Jumaat, sekali gus memulakan rangka lawatan kerja rasmi beliau di Bahagian Mukah.
Ketibaan beliau pada jam 12.17 tengah hari disambut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi serta ahli-ahli Lembaga Masjid Setia Raja Mukah.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya, Residen Bahagian Mukah, Bujang Rahman Seli serta ketua-ketua jabatan.
Solat Jumaat dipimpin Imam Besar Negeri Sarawak, Sahibul Fadilah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi, manakala khutbah Jumaat bertajuk “Mensyukuri Nikmat Pembangunan” disampaikan Mufti Negeri Sarawak.
Premier Sarawak kemudiannya dijadual menghadiri Majlis Penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia Bahagian Mukah di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Mukah.
Pada sebelah malam, beliau dijadual menghadiri Majlis Makan Malam Bersama Komuniti di Mukah.
Lawatan beliau diteruskan pada Sabtu dengan aktiviti Brisk Walk dan sarapan pagi bersama komuniti, diikuti Majlis Perasmian Sarawakku Sayang Bahagian Mukah serta Majlis Penyerahan Kunci Rumah Spektra Permata (RSP) Balingian. -EDISI UKAS