SMK Sri Samarahan Bakal Dibuka, Sedia Kemudahan Pendidikan Lebih Kondusif
KOTA SAMARAHAN: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Samarahan bakal dibuka dan mula menerima kemasukan pelajar pada bulan ini, sekali gus menyediakan akses pendidikan yang lebih baik kepada masyarakat setempat.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, perkembangan kemudahan pendidikan di kawasan Kota Samarahan amat menggalakkan dan mencerminkan usaha berterusan dalam menyediakan prasarana pendidikan yang lebih selesa, kondusif serta selamat untuk generasi muda.
“Saya amat berbesar hati melihat perkembangan kemudahan pendidikan di kawasan Kota Samarahan yang terus diperkasakan bagi menyediakan suasana pembelajaran yang lebih selesa, kondusif dan selamat untuk anak-anak kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke SMK Sri Samarahan bagi meninjau persediaan sekolah sebelum mula menerima kemasukan pelajar pada Jumaat.
Menurut Datuk Rubiah, pembukaan sekolah tersebut bakal memberi manfaat kepada masyarakat setempat, khususnya dalam menyediakan akses pendidikan yang lebih baik kepada pelajar di kawasan berkenaan.
Menurutnya, kemudahan pendidikan yang berkualiti penting dalam membentuk persekitaran pembelajaran yang mampu menyokong perkembangan akademik, sahsiah dan potensi pelajar.
“Semoga SMK Sri Samarahan dapat menjadi sebuah institusi pendidikan yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat serta melahirkan generasi muda yang berilmu, berdaya saing dan mempunyai masa depan yang cerah,” ujarnya.
Datuk Rubiah turut merakamkan ucapan selamat datang kepada para pelajar yang bakal memulakan sesi persekolahan di sekolah berkenaan serta berharap mereka dapat memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan.
Turut hadir, Pegawai Khas Ahli Parlimen Kota Samarahan Anuar Da'an.-EDISI UKAS