Simunjan Youth Festival 2026 Buka Tirai Dengan Pelbagai Pengisian Menarik
SIMUNJAN: Program Simunjan Youth Festival 2026 secara rasminya bermula pada Jumaat dengan pelbagai pengisian menarik melibatkan aktiviti sukan, kecergasan, hiburan, pameran serta program komuniti yang berlangsung di beberapa lokasi sekitar daerah Simunjan.
Berlangsung selama tiga hari sehingga 4 Oktober, festival berkenaan menghimpunkan golongan belia, keluarga dan komuniti setempat menerusi pelbagai aktiviti dalam suasana santai dan meriah.
Antara pengisian yang berlangsung ialah Gunting Rambut Secara Percuma dan Pameran Agensi serta NGO di Dewan Mesra Simunjan Pertandingan Aerodance di Pentas Utama serta Pertandingan Ping Pong di Arena Sri Nancy.
Turut diadakan ialah Simunjan Weightloss Challenge di Pentas Utama yang mengetengahkan elemen kecergasan dan gaya hidup sihat dalam kalangan peserta.
Pada sebelah malam, Pentas Utama menjadi tumpuan menerusi The Voice Simunjan, disusuli persembahan penyanyi jemputan Rina Eva.
Selain pengisian rasmi pada 2 Oktober, jualan sempena festival telah bermula sejak 30 September, sekali gus menyediakan ruang kepada usahawan dan peniaga tempatan mengetengahkan produk masing-masing.
Simunjan Youth Festival 2026 dianjurkan Kelab Sukan Elektronik Majlis Daerah Simunjan (SDCE) dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), Pusat Khidmat DUN Simunjan, serta Pusat Khidmat Batang Sadong.
Festival tersebut turut menjadi sebahagian daripada pengisian sempena Samarahan Maju Makmur 40 Tahun (1986–2026), dengan pelbagai program dirangka bagi memeriahkan sambutan serta memperkukuh penglibatan masyarakat di daerah Simunjan.
Festival berkenaan diteruskan sehingga 4 Oktober dengan pelbagai aktiviti disediakan bagi menghidupkan suasana di daerah Simunjan sepanjang tempoh penganjuran.-EDISI UKAS