Sarawak Mahu Bincang Penyelesaian Menyeluruh Isu Tenaga Perubatan Dengan KKM
KUCHING: Sarawak akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mencari penyelesaian menyeluruh terhadap cabaran tenaga perubatan di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, perbincangan tersebut perlu melihat isu berkenaan secara menyeluruh, termasuk dasar, pembiayaan dan peluang latihan kepakaran.
“Saya akan membuat temu janji dengan Menteri Kesihatan kemudian, kita akan berbincang dan meneliti isu dasar ini secara menyeluruh termasuk kebenaran untuk mengambil doktor bekerja dan bukan sekadar menumpukan pada isu pembayaran sahaja.
“Ini kerana pembayaran hanyalah sebahagian daripada cabaran keseluruhan, yang turut merangkumi aspek seperti peluang latihan pascasiswazah dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa majlis perasmian Padawan Discovery Festival di Dewan Serbaguna Kuari Ang Cheng Ho, di sini, pada Jumaat.
Menurut Datuk Amar Profesor Dr Sim, isu berkenaan tidak boleh diselesaikan melalui pendekatan kewangan semata-mata kerana turut melibatkan dasar serta peluang pembangunan kerjaya doktor.
Dalam pada itu katanya, Sarawak juga akan mengemukakan cadangan supaya negeri ini diberikan ruang untuk mengambil doktor secara langsung bagi membantu menangani keperluan tenaga perubatan di Sarawak.
Beliau berkata, langkah tersebut merupakan antara pendekatan yang perlu diteroka bagi membolehkan Sarawak mendapatkan tenaga perubatan yang diperlukan.
Tambahnya, hasil perbincangan itu kelak akan membantu Sarawak mengenal pasti keperluan sebenar sebelum cadangan berkaitan dikemukakan untuk pertimbangan dan tindakan selanjutnya.-EDISI UKAS