Hari Sukan Negara Peringkat Bahagian Sri Aman 2026 Berlangsung 17 Oktober
SIMANGGANG: Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) peringkat Bahagian Sri Aman 2026 akan diadakan pada 17 Oktober ini dengan pelbagai aktiviti menarik bagi menggalakkan pembudayaan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
Persiapan akhir bagi sambutan tersebut dibincangkan menerusi Mesyuarat Induk Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Bahagian Sri Aman 2026 yang diadakan di Bilik Mesyuarat, Pejabat Residen Bahagian Sri Aman, pada Jumaat.
Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman, Abang Syamsul Zainuri Abang Sapini berkata, sambutan HSN yang dianjurkan setiap tahun itu terus menjadi platform untuk menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat di samping mengeratkan hubungan silaturahim.
“Hari Sukan Negara dianjurkan setiap tahun dan matlamat utamanya kekal konsisten iaitu untuk mengekalkan amalan gaya hidup sihat serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Cawangan Pembangunan Sukan, Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman, Israk Ismail menerusi pembentangan memaklumkan, pelbagai aktiviti menarik telah dirancang bagi memeriahkan sambutan tersebut.
Dalam pada itu, Pemangku Timbalan Residen Bahagian Sri Aman, Frank Lani menegaskan kepentingan peranan media dalam memastikan mesej dan kempen pembudayaan sukan dapat disampaikan secara meluas kepada masyarakat, khususnya di peringkat akar umbi.
Beliau turut menekankan keperluan hebahan yang lebih menyeluruh dan berterusan bagi meningkatkan kesedaran serta menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti yang dianjurkan sempena HSN.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Sri Aman, Sharif Bujang serta wakil daripada agensi-agensi berkaitan.-EDISI UKAS