MAKSAK Cares Salur Lebih RM10,000 Tingkat Kemudahan Hospital Mukah
MUKAH: Usaha meningkatkan keselesaan pesakit serta menyokong penyampaian perkhidmatan di Hospital Mukah mendapat perhatian menerusi Program MAKSAK Cares dengan sumbangan kemudahan bernilai lebih RM10,000.
Inisiatif tanggungjawab sosial (CSR) Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK Sarawak) Bahagian Wanita itu dilaksanakan sempena Program Sarawakku Sayang di Bahagian Mukah.
Sumbangan berkenaan merangkumi sebuah peti sejuk, 20 unit kerusi menunggu tiga tempat duduk serta dua troli barangan bagi memenuhi keperluan asas hospital dan meningkatkan keselesaan pesakit.
Simbolik sumbangan disampaikan Pengerusi MAKSAK Wanita Sarawak, Dato Baduyah Bujang bersama Pengerusi MAKSAK Wanita Bahagian Mukah, Dayangku Syariani Awang Jubaidi dalam Majlis Jalinan Perkhidmatan Awam Bahagian Mukah di pekarangan Menara Pehin Setia Raja Mukah pada Khamis.
Dato Baduyah berkata, MAKSAK Cares merupakan antara inisiatif di bawah teras kebajikan MAKSAK Wanita Sarawak yang mencerminkan keprihatinan penjawat awam terhadap kesejahteraan masyarakat.
“Program MAKSAK Cares ini adalah salah satu inisiatif di bawah teras kebajikan MAKSAK Wanita Sarawak. Ia bukan sekadar sumbangan material, tetapi tanda kasih, keprihatinan dan kepedulian kami sebagai penjawat awam kepada masyarakat.
“Kami di MAKSAK Wanita sentiasa komited untuk turun padang dan membantu golongan yang memerlukan walau di mana mereka berada,” katanya.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Sementara itu, Pengarah Hospital Mukah, Dr Ardif Damiri merakamkan penghargaan atas keprihatinan MAKSAK Wanita Sarawak sambil menyifatkan sumbangan tersebut amat bermakna kepada kakitangan hospital, khususnya pesakit daripada golongan kurang berkemampuan.
MAKSAK Wanita Sarawak akan terus mempergiat program seumpama itu di seluruh Sarawak dari semasa ke semasa bagi memupuk semangat kerjasama dan kebajikan dalam kalangan anggota perkhidmatan awam.-EDISI UKAS