Warga Pendidikan Perlu Seimbangkan Ilmu Dan Nilai Murni Dalam Era Digital
LIMBANG: Warga pendidikan perlu menyeimbangkan penguasaan ilmu dengan penerapan nilai murni bagi memastikan generasi masa hadapan mampu mendepani perubahan dunia yang dipacu perkembangan teknologi dan kecerdasan buatan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kemajuan teknologi, digitalisasi dan kecerdasan buatan telah mengubah cara masyarakat belajar, bekerja dan berkomunikasi, sekali gus menuntut warga pendidikan untuk terus menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.
“Dalam dunia yang semakin kompleks dan pantas berubah, peranan guru menjadi semakin penting. Kemajuan teknologi, digitalisasi dan kecerdasan buatan sedang mengubah cara kita belajar, bekerja dan berkomunikasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan Peringkat Negeri Sarawak Kali Ke-44 Tahun 2026 pada Khamis.
Menurutnya, penguasaan ilmu semata-mata tidak memadai sekiranya tidak disertai nilai seperti integriti, empati dan disiplin yang menjadi asas penting dalam pembentukan generasi berdaya tahan dan berakhlak.
Beliau turut menggesa warga pendidik supaya terus meningkatkan keupayaan diri agar kekal relevan dengan perkembangan teknologi serta keperluan pembelajaran masa kini.
“Saya berharap warga pendidikan Sarawak akan terus menjadi pendidik yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga mempunyai jiwa pendidik dan semangat untuk membentuk generasi yang berdaya tahan, berkemahiran dan berakhlak,” ujarnya.
Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah berkata penganjuran pesta sukan bukan sekadar medan pertandingan, sebaliknya turut berperanan dalam pembangunan sahsiah dan kesejahteraan warga pendidikan.
Katanya, penglibatan dalam aktiviti sukan dapat memupuk kecergasan fizikal, kesejahteraan mental, disiplin, semangat kerja berpasukan, kepimpinan serta sikap menghormati pihak lawan dan tidak mudah berputus asa.
Turut hadir isteri Timbalan Premier Sarawak, Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Omar Mahli, Pegawai Pendidikan Daerah Limbang Siti Mariam Salleh. - EDISI UKAS