Tebingan Sungai Kampung Ampungan Siap Dinaik Taraf, Buka Potensi Ekonomi & Pelancongan
SERIAN: Projek menaik taraf Tebingan Sungai Kampung Ampungan bernilai RM1.67 juta kini siap sepenuhnya, sekali gus membuka potensi baharu kepada penduduk setempat untuk mengembangkan aktiviti ekonomi, rekreasi dan pelancongan berasaskan sungai.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.20 Tarat dan Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA), Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, projek berkenaan disiapkan mengikut jadual pada Mei 2026.
Menurut beliau, projek yang dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Serian itu merupakan antara usaha menyediakan kemudahan yang mampu memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat setempat.
“Saya berharap projek ini dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk di Kampung Ampungan tetapi kepada masyarakat dari luar juga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Siap GKCDA, Projek Menaik Taraf Tebingan Sungai Kampung Ampungan, Serian dan Pesta Pengkalan Kampung Ampungan 4.0 2026 di sini pada Jumaat.
Dato Sri Roland menambah, Kampung Ampungan sememangnya mempunyai potensi dalam aktiviti perikanan dan kewujudan kemudahan tebingan sungai yang telah dinaik taraf mampu membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk.
Menurutnya, berdasarkan maklum balas yang diterima, terdapat penduduk yang memperoleh pendapatan menerusi aktiviti ekonomi berkaitan di kawasan berkenaan.
Justeru, beliau mahu setiap pembangunan yang dilaksanakan memberi impak langsung kepada masyarakat, khususnya dalam membantu meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk.
Dalam perkembangan berkaitan, Dato Sri Roland memaklumkan sebanyak 19 projek melibatkan nilai keseluruhan RM180.9 juta kini berada dalam pelbagai peringkat pelaksanaan di kawasan DUN N.20 Tarat.
Daripada jumlah itu, dua projek telah siap, manakala empat projek bernilai RM126.8 juta sedang dilaksanakan mengikut jadual.
Sebanyak 13 projek lagi bernilai RM51.25 juta masih dalam peringkat perancangan melibatkan beberapa agensi pelaksana termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Daerah Serian, Jabatan Pertanian, JPS serta Land Custody and Development Authority (LCDA).
Sehubungan itu, beliau menggesa semua agensi pelaksana memastikan projek yang telah dirancang dapat dilaksanakan dengan cekap serta disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.
Beliau turut menjelaskan GKCDA berperanan mengenal pasti, merancang dan mengutamakan pembangunan sosioekonomi di kawasan di bawah bidang kuasanya.
Ia merangkumi beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), antaranya Tarat, Opar, Tasik Biru, Tanjong Datu, Serembu, Mambong, Tebedu, Kedup, Bukit Semuja dan sebahagian Balai Ringin.
Majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan Pesta Pengkalan Kampung Ampungan 4.0 2026 anjuran Jawatankuasa Belia, Sukan dan Rekreasi (JKBSR) Kampung Ampungan bersama Ampungan Grengler Club (AW).
Turut hadir Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Komoditi dan Pembangunan Wilayah) merangkap ADUN Kedup, Datuk Martin Ben, Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin, ADUN Bukit Semuja, John Ilus, ADUN Tebedu, Dr Simon Sinang Bada, Residen Bahagian Serian, Mackos Sibong, Pegawai Tadbir Khas GKCDA, Datuk Ik Pahon Joyik, Pengerusi Majlis Daerah Serian, Dato Peter Minos, Pegawai Daerah Serian, Enting @ Inting Nyami dan Jurutera Bahagian JPS Serian, Sylvester Razco Alak. -EDISI UKAS