1,400 Karton Air Mineral Disumbang Bantu Penduduk Terjejas Kemarau Di Lingga
LINGGA: Sebanyak 1,400 karton air mineral disumbangkan oleh Sarawak Water Sdn. Bhd. bagi membantu penduduk yang terjejas akibat kemarau di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, bantuan tersebut akan diagihkan secara berperingkat kepada penduduk di kawasan Lingga dan Seduku yang terjejas.
Menurutnya, isu berkaitan bekalan air telah dibangkitkan semasa perjumpaan bersama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi pada Ogos lalu sebelum pihaknya memohon kerjasama Sarawak Water Sdn. Bhd. untuk menyediakan bantuan air mineral kepada penduduk terjejas.
Beliau turut memaklumkan bahawa agihan kepada penduduk akan dibuat secara berkelompok bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara teratur dan menyeluruh.
“Pengambilan hendaklah dilakukan secara berkelompok dan bukan secara persendirian. Bantuan juga boleh diambil secara berperingkat mengikut keperluan,” katanya semasa agihan bantuan bekalan air di Dewan Serbaguna Al Hana Masjid Lingga pada Jumaat.
Dayang Noorazah turut meminta kerjasama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi membantu urusan pengagihan dan memastikan rekod penerimaan ditandatangani semasa bekalan diserahkan.
Dalam pada itu, Pemangku Pegawai Daerah Lingga, Nurshazani Fadli Salihin berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) turut proaktif dalam usaha menyalurkan bantuan air ke kawasan yang terjejas akibat kemarau.
Menurut beliau, bantuan bekalan air ketika ini melibatkan dua pendekatan berdasarkan keadaan sistem bekalan air di kawasan terjejas.
“Bagi kawasan yang menerima bekalan air terawat, bantuan akan disalurkan oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) melalui penghantaran lori tangki air.
“Manakala bagi kawasan yang belum menerima bekalan air terawat dan masih menggunakan sistem tekanan air bukit, bantuan air mineral akan disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, usaha Pusat Khidmat N.28 Lingga itu turut bertujuan memastikan kawasan yang menerima bantuan melalui lori tangki JBALB mendapat bekalan air mineral bagi kegunaan harian.
Daripada jumlah keseluruhan 1,400 karton, sebanyak 1,088 karton diperuntukkan kepada JKKK, kampung dan rumah panjang melibatkan 544 pintu, manakala 250 karton disalurkan kepada tiga buah sekolah dan 62 karton lagi kepada masjid serta Pejabat Daerah Lingga.-EDISI UKAS