MUKAH: Bakti seorang pendidik tidak terhenti selepas bersara, sebaliknya terus hidup melalui perubahan yang dibentuk dalam diri anak didik serta sumbangan berterusan kepada masyarakat.
Bagi Cikgu Shazwan Seun dan Cikgu Angela Murni, pengiktirafan yang diterima bukan sekadar penghargaan terhadap khidmat yang dicurahkan, malah menjadi peringatan tentang amanah, keikhlasan dan komitmen yang perlu diteruskan oleh generasi pendidik seterusnya.
Shazwan, yang menamatkan perkhidmatan wajib pada 1 Ogos 2024 selepas lebih tiga dekad dalam bidang pendidikan, berkata kejayaan melihat bekas murid berkembang menjadi insan berilmu dan berdisiplin merupakan hadiah paling bermakna bagi seorang guru.
Menurutnya, tanggungjawab pendidik bukan sekadar menyampaikan ilmu di dalam bilik darjah, tetapi turut membentuk sahsiah dan mempersiapkan generasi muda untuk menghadapi masa depan.
“Kalau tugas kita mengajar sahaja, senang. Masuk kelas, keluar kelas dan pastikan mereka berjaya. Tetapi yang utama ialah mendidik, membentuk masa depan mereka serta memastikan mereka menjadi insan yang seimbang dari segi emosi, jasmani dan rohani,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia Bahagian Mukah, pada Jumaat.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg semasa kunjungan beliau ke Mukah sempena Program Sarawakku Sayang.
Sepanjang kerjayanya, Shazwan pernah berkhidmat di sekolah vokasional, sekolah agama dan Pejabat Pendidikan Bahagian Mukah, selain memegang jawatan Penolong Kanan di SMK Oya serta Pengetua SMK Mukah.
Beliau kemudian berperanan sebagai rakan pembimbing kepada pengetua dalam aspek kepimpinan dan pengurusan sekolah.
Berdasarkan pengalamannya, beliau berpandangan kerjasama antara ibu bapa, guru dan masyarakat amat penting dalam menangani cabaran mendidik generasi masa kini, khususnya berkaitan pembentukan disiplin dan adab murid.
Sementara itu, Angela menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas pengiktirafan yang diberikan, sambil menitipkan pesanan kepada generasi yang bakal mengambil alih tanggungjawab dalam perkhidmatan supaya sentiasa memberikan komitmen terbaik.
“Lakukan yang terbaik dalam apa sahaja yang ditugaskan kepada anda. Berikan sepenuh hati terhadap apa yang dilakukan,” katanya.
Pesanan itu menekankan bahawa mutu perkhidmatan bukan hanya diukur melalui tempoh seseorang berkhidmat, tetapi juga melalui kesungguhan melaksanakan amanah dan kesediaan meneruskan tanggungjawab demi kepentingan masyarakat. -EDISI UKAS