BETONG: Biro Wanita di Layar disaran memperluas penghasilan dan pemasaran produk tempatan bagi merebut peluang ekonomi yang dijangka berkembang seiring peningkatan akses serta penganjuran pelbagai program di Betong.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, Biro Wanita perlu memanfaatkan peluang yang ada dengan menghasilkan produk kraf dan makanan tempatan yang berpotensi menarik minat pengunjung.
Menurut beliau, kehadiran orang ramai ke Betong sepanjang Oktober sempena penganjuran Anugerah Carta Sapa Juara (ACSJ), Layar Cycling Carnival (LCC) dan Hari Sukan Negara (HSN) 2026 Peringkat Sarawak boleh dijadikan platform untuk mempromosikan serta memasarkan produk keluaran tempatan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada Biro Wanita Layar di Dewan Layar, Pejabat Daerah Betong, pada Jumaat.
Pada majlis itu, sebanyak 91 Biro Wanita menerima peruntukan MRP berjumlah RM306,000 bagi melaksanakan aktiviti yang memberi manfaat kepada ahli serta komuniti setempat.
Datuk Gerald berkata, selain sektor pelancongan, bidang pertanian turut menawarkan potensi ekonomi yang boleh diterokai menerusi aktiviti seperti hidroponik, fertigasi dan ternakan udang di Bebuling Agropark, selain peluang yang berkaitan dengan pembangunan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC).
Katanya, kemudahan infrastruktur yang semakin berkembang, termasuk pembinaan Jambatan Batang Lupar 2 dan jalan baharu ke Sri Aman, dijangka membuka akses kepada pasaran yang lebih luas serta memudahkan pergerakan usahawan dan barangan.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan Biro Wanita memanfaatkan peruntukan MRP untuk melaksanakan program peningkatan kemahiran seperti bengkel jahitan, masakan dan pembuatan kuih, selain mendapatkan bimbingan melalui kerjasama dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).
“Gunakan peluang yang ada untuk meningkatkan kemahiran kerana kemahiran baharu boleh membantu menjana pendapatan dan memperkukuh ekonomi keluarga,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan pengurusan peruntukan secara teratur dengan memastikan setiap aktiviti didokumentasikan dan laporan dikemukakan melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kepada Pejabat Daerah Betong untuk tujuan rekod serta pemantauan.
Turut hadir Pegawai Daerah Betong, Laga Kueh, Pemanca Masyarakat Iban Daerah Betong, Pemanca Norman Ngumbang serta Penghulu Sebastian Randy, Penghulu Uyuk Sunang dan Penghulu Ajang Tibu.-EDISI UKAS