Karnival Sukan Jadi Wadah Perpaduan Komuniti Belaga
LONG URUN: Karnival Sukan Komuniti Belaga @ Long Urun 2026 menjadi wadah memperkukuh perpaduan dan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat menerusi penglibatan aktif dalam aktiviti sukan dan kemasyarakatan.
Timbalan Menteri Digital merangkap Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, penganjuran program seumpama itu bukan sekadar menyediakan ruang untuk aktiviti sukan, malah memupuk semangat berpasukan dan kebersamaan dalam komuniti.
Menurutnya, penglibatan masyarakat, khususnya golongan belia, dalam aktiviti sukan mampu membina hubungan yang lebih erat serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Sukan Komuniti Belaga @ Long Urun 2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Urun, Belaga, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon berkata, pembangunan sukan di kawasan pedalaman perlu diperluas melalui pelaksanaan program latihan, pencarian bakat serta penyediaan kemudahan sukan yang bersesuaian.
Katanya, kawasan seperti Long Urun, Sungai Asap, Metalun dan Tegulang perlu turut diberi perhatian bagi membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda untuk mengembangkan bakat dan potensi mereka dalam bidang sukan.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara agensi kerajaan, pihak sekolah, persatuan belia, pemimpin masyarakat dan penduduk setempat bagi memastikan pembangunan sukan dan belia dapat dilaksanakan secara berterusan.
Karnival berkenaan menghimpunkan kira-kira 200 peserta dan penduduk setempat serta dianjurkan oleh Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Kapit dengan kerjasama Kelab Belia Pekan Kapit dan SK Long Urun.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon dan Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) Sarawak, Fatimah Abdul Rahman.-EDISI UKAS