JBALB Pantau Rapi Pelaksanaan Projek LRA Basong Fasa 3
MUKAH: Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak akan terus memantau pelaksanaan Projek Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Basong Fasa 3 bagi memastikan kerja-kerja pembinaan berjalan mengikut perancangan dan disiapkan dalam tempoh ditetapkan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, pemantauan berterusan itu penting bagi memastikan projek berkenaan dapat disiapkan dengan lancar sekali gus mencapai matlamat meningkatkan keupayaan sistem bekalan air di Bahagian Mukah.
Menurutnya, projek bernilai RM243.98 juta itu kini mendahului jadual dan dijangka siap sepenuhnya pada September 2028.
“Projek yang bermula pada September 2025 ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak dan melibatkan pembinaan sebuah loji rawatan air baharu berkapasiti 60 juta liter sehari (MLD).
“Ia turut merangkumi pemasangan saluran paip air mentah sepanjang 18 kilometer dengan diameter 1,000 milimeter,” katanya ketika berucap semasa lawatan ke LRA Basong, di sini, pada Jumaat.
Menurut beliau, pelaksanaan projek berkenaan dijangka meningkatkan kapasiti keseluruhan sistem bekalan air di Mukah dan kawasan sekitarnya, selain membantu menangani masalah bekalan air yang sekian lama dihadapi penduduk.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Mukah mempunyai 11 loji rawatan air yang menyumbang kepada sistem bekalan air di bahagian itu.
Katanya, berdasarkan data semasa, kapasiti bekalan air sebanyak 60 MLD dilihat mencukupi untuk memenuhi keperluan Mukah, namun kerajaan turut mengambil kira peningkatan permintaan pada masa hadapan.
Beliau menambah, usaha memperkukuh kemudahan bekalan air itu mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak untuk memperluas liputan bekalan air terawat serta menyediakan sistem yang lebih stabil dan berdaya tahan.
“Usaha ini adalah untuk memastikan masyarakat di seluruh Bahagian Mukah mendapat manfaat daripada kemudahan bekalan air yang lebih baik,” katanya.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine dan Jurutera Air JBALB Bahagian Mukah Ir. Abang Ismail Abang Selim. - EDISI UKAS