Profesional Teknikal Pemacu Masa Depan Ekonomi Sarawak
KUALA LUMPUR: Profesional teknikal memainkan peranan penting dalam merealisasikan peralihan kepada ekonomi rendah karbon dan berteraskan teknologi, sekali gus membuka peluang baharu dalam industri, pelaburan dan perniagaan.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, keupayaan teknikal perlu diperkukuh bagi memastikan Sarawak mampu memanfaatkan peluang yang terhasil daripada perubahan landskap ekonomi global.
“Peralihan ke arah ekonomi rendah karbon dan dipacu teknologi sedang mewujudkan industri, pelaburan, perniagaan dan profesion baharu. Untuk merebut peluang ini, kita memerlukan lebih daripada teknologi dan modal, kita memerlukan keupayaan teknikal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Showcase Kebangsaan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2026 di Ekspo Teknologi Jalan Raya dan Trafik MyASEAN (MyARTTE) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini pada Khamis.
Beliau menyempurnakan majlis itu bagi pihak Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Menurut Datuk Dr Hazland, Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) meletakkan kelestarian alam sekitar seiring dengan kemakmuran ekonomi dan keterangkuman sosial, disokong inisiatif dalam tenaga boleh baharu, tenaga bersih, ekonomi hidrogen, pengangkutan mampan, pendigitalan, ekonomi kitaran serta pembangunan bakat hijau.
“Golongan profesional teknikal bukan sekadar akan mengambil bahagian dalam peralihan kita ke arah kelestarian, malah mereka akan membantu merealisasikannya. Pelaburan dalam profesion teknikal pada asasnya ialah pelaburan untuk masa depan ekonomi kita,” katanya.
Bertemakan ‘Profesion Teknikal: Memacu Kelestarian’, HPTN 2026 akan berlangsung pada 1 dan 2 Disember ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), dengan sasaran menarik 5,000 pengunjung serta menghimpunkan kira-kira 1,500 pempamer menerusi 238 reruai pameran.
Acara itu bakal merangkumi 10 sektor utama, termasuk teknologi hijau, elektrik dan elektronik, teknologi maklumat dan komunikasi, pembinaan, pembuatan, bioteknologi, pengangkutan serta industri berasaskan sumber.
Enam program utama turut dirancang, meliputi ceramah teknikal, sesi produk dan inovasi, program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), zon interaktif e-sukan, karnival kerjaya serta ceramah kerjaya.
Selain perkongsian ilmu dan teknologi, HPTN 2026 turut menyasarkan hubungan lebih erat antara kepakaran teknikal dengan peluang komersial melalui sesi padanan perniagaan antara syarikat (B2B), Program Pembeli Jemputan serta jaringan bersama pelabur.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur HPTN 2026, Datu Profesor Dr Cassidy Morris berkata, acara itu bukan sekadar platform meraikan golongan profesional teknikal, tetapi turut menghubungkan kepakaran dengan keperluan industri dan pembangunan ekonomi.
“HPTN 2026 bukan sekadar meraikan golongan profesional teknikal. Kita mahu mewujudkan platform yang menemukan ilmu dengan industri, inovasi dengan peluang, serta membolehkan keupayaan teknikal diterjemahkan kepada nilai ekonomi sebenar,” katanya.
Sarawak dipilih sebagai tuan rumah HPTN 2026, yang dianjurkan bersama oleh JKR Malaysia, Kementerian Kerja Raya Malaysia, Kerajaan Sarawak dan JKR Sarawak dengan kerjasama sektor industri. -EDISI UKAS