Kokurikulum Bentuk Pelajar Seimbang, Berdaya Saing
MIRI: Aktiviti kokurikulum perlu terus diperkasa sebagai platform membentuk pelajar yang seimbang dari aspek sahsiah, kepimpinan, kemahiran sosial dan keperibadian selain kecemerlangan akademik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau berkata, pendidikan tidak seharusnya hanya memberi tumpuan kepada pencapaian akademik, sebaliknya perlu menyediakan ruang kepada pelajar mengembangkan bakat, minat dan potensi masing-masing.
Katanya, penglibatan dalam aktiviti kokurikulum dapat memupuk nilai murni, disiplin diri, semangat kerjasama dan kemahiran kepimpinan yang penting dalam pembentukan peribadi pelajar.
“Pendidikan tidak seharusnya hanya memberi tumpuan kepada akademik, sebaliknya turut menyediakan ruang kepada pelajar mengembangkan bakat, minat dan potensi masing-masing,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum dan Hal Ehwal Murid Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang 2026 di Dewan Perdana Kolej TDTH Bujang pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan dan tahniah kepada pelajar yang mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan, seni, kepimpinan dan kesukarelawanan hasil ketekunan serta komitmen, dengan sokongan guru dan jurulatih.
Beliau berharap pengiktirafan menerusi majlis berkenaan menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan serta mengembangkan potensi diri.
Katanya, kejayaan pelajar tidak hanya diukur melalui anugerah yang diterima, tetapi turut merangkumi perkembangan diri, pengalaman dan pencapaian sepanjang proses pendidikan.
Turut hadir Pengetua Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang, Mohamad Effendi Panglima.- EDISI UKAS