Mukah Miliki Potensi Dalam Ekonomi Baharu Berasaskan Teknologi Hijau
MUKAH: Bahagian Mukah mempunyai potensi besar dalam penerokaan bidang ekonomi baharu berasaskan teknologi hijau bagi membuka peluang pembangunan serta meningkatkan pendapatan masyarakat setempat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Mukah mempunyai kawasan bakau berupaya menyimpan dan menyerap karbon, sekali gus mempunyai nilai ekonomi dalam perkembangan perdagangan karbon yang kini semakin mendapat perhatian dunia.
Ujarnya, perubahan ekonomi dunia khususnya berkaitan perubahan iklim dan usaha mengurangkan pelepasan karbon membuka peluang baharu kepada Sarawak yang mempunyai sumber semula jadi seperti hutan paya gambut dan kawasan bakau.
“Maknanya perubahan ini akan mempunyai impak ekonomi kepada kita yang masih mempunyai pokok dan tanah gambut,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Pemimpin bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di Bahagian Mukah sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) di Kingwood Hotel Resort pada Jumaat.
Beliau berkata, Sarawak perlu menjadi peneroka teknologi baharu dan tidak hanya menunggu perubahan berlaku, termasuk dalam bidang tenaga hidrogen dan tenaga solar.
Katanya, teknologi baharu dijangka membantu mengurangkan kos penghasilan hidrogen pada masa akan datang, manakala penggunaan tenaga bersih pula semakin penting dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
Datuk Patinggi Abang Zohari turut menekankan kepentingan meneroka penggunaan tenaga solar termasuk pemasangan panel solar di atas bumbung rumah, selain penggunaan bateri baharu yang mampu menyimpan tenaga untuk tempoh lebih lama.
Dalam pada itu, beliau berkata pembangunan infrastruktur yang dilaksanakan di Bahagian Mukah termasuk jaringan jalan raya dan jambatan telah menghubungkan kawasan-kawasan di bahagian tersebut serta membuka peluang kepada pembangunan ekonomi.
Menurut beliau, pembangunan infrastruktur berkenaan perlu disusuli dengan pembangunan bekalan air dan elektrik bagi memastikan masyarakat terus mendapat manfaat daripada pembangunan yang dilaksanakan.
“Dengan adanya pembangunan infra dan juga bekalan elektrik dan air, sudah tentu impak ekonominya akan nampak dan masyarakat kita akan dapat meningkatkan pendapatan,” katanya.
Beliau turut menyentuh potensi sumber perikanan di kawasan Mukah serta kepentingan penggunaan ilmu sains dalam membangunkan kawasan masing-masing.
Pada masa sama, beliau berkata pembangunan Mukah perlu diteruskan berdasarkan asas yang telah dibangunkan oleh kepimpinan terdahulu, di samping disesuaikan dengan keperluan dan perubahan pada era baharu.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) merangkap Timbalan Menteri Bertanggungjawab Majlis Makan Malam Pemimpin Bersama KMKK, Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Ahli-Ahli Parlimen, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, Residen Bahagian Mukah Bujang Rahman Seli dan Ketua-Ketua Jabatan. -EDISI UKAS