Mukah Terima Lebih RM3 Bilion Pembangunan Dalam Tempoh Lima Tahun
MUKAH: Bahagian Mukah merekodkan pelaksanaan projek pembangunan bernilai lebih RM3 bilion dalam tempoh kira-kira lima tahun kebelakangan ini, merangkumi pelbagai kemudahan awam, infrastruktur asas serta jaringan perhubungan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, jumlah berkenaan antara lain melibatkan 78 Projek Rakyat bernilai kira-kira RM1.3 bilion.
Menurut beliau, jumlah itu tidak termasuk peruntukan menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan program berkaitan pembangunan luar bandar di bawah agensi pembangunan wilayah yang dianggarkan berjumlah RM1.5 bilion.
“Ini tidak termasuk peruntukan lebih kurang lebih RM2 bilion untuk pembangunan bekalan air, elektrik dan telekomunikasi daripada 2018 sehingga sekarang.
“Maknanya, keseluruhannya sepanjang lima tahun yang lepas, tidak kurang daripada RM3 bilion telah dilaksanakan untuk Bahagian Mukah sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Makan Malam Pemimpin Bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Mukah, pada Jumaat.
Hadir menyempurnakan majlis berkenaan ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Abdullah turut menyentuh pembangunan infrastruktur di Mukah yang merangkumi pembinaan dan penambahbaikan jaringan jalan raya serta jambatan utama yang menjadi penghubung penting kepada masyarakat pesisir dan luar bandar.
Katanya, kos pembinaan serta menaik taraf jalan hubungan dalam Bahagian Mukah sahaja mencecah lebih RM1 bilion, selain pembinaan beberapa jambatan utama termasuk Jambatan Muara Lassa, Batang Igan dan Paloh.
Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 1,338 projek telah dilaksanakan menerusi RTP di Bahagian Mukah dengan nilai keseluruhan kira-kira RM55 juta.
Menurutnya, pembangunan bekalan air juga menerima perhatian besar apabila 68 projek dilaksanakan di Bahagian Mukah bagi tempoh 2018 hingga 2026 dengan peruntukan kira-kira RM2.1 bilion.
Datuk Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop menegaskan, nilai pembangunan yang besar itu perlu dilihat berdasarkan kesannya kepada kehidupan rakyat, khususnya dari segi akses perhubungan dan kemudahan asas.
“Kesemua angka ini bukan sekadar angka di atas kertas, sebaliknya setiap projek ada rakyat yang mendapat jalan yang lebih stabil dan hubungan antara kampung dan kawasan bandar semakin lebih baik,” katanya lagi.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Ahli-Ahli Parlimen, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, Residen Bahagian Mukah Bujang Rahman Seli dan Ketua-Ketua Jabatan. -EDISI UKAS