SKS Mukah: Pickleball Budayakan Gaya Hidup Sihat, Erat Hubungan Penjawat Awam
MUKAH: Aktiviti sukan menjadi antara medium dalam membudayakan gaya hidup sihat di samping mengeratkan hubungan dan semangat kebersamaan dalam kalangan penjawat awam.
Semangat itu diterjemahkan menerusi Pickleball Social Game MAKSAK yang diadakan bersempena Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Mukah 2026 pada Jumaat.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki bersama isteri, Dato Baduyah Bujang turut meluangkan masa menyertai warga Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) Mukah serta ketua-ketua jabatan dalam permainan pickleball berkenaan.
Penganjuran aktiviti santai itu bukan sahaja menggalakkan warga perkhidmatan awam untuk kekal aktif dan mengamalkan gaya hidup sihat, malah menjadi platform mengeratkan hubungan, memperkukuh semangat berpasukan serta membina kesepaduan antara penjawat awam dan kepimpinan jabatan.
Turut menyertai aktiviti berkenaan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine. -EDISI UKAS