SIMUNJAN: Nur Athifah Musyirah dinobatkan sebagai juara The Voice Simunjan selepas mempamerkan persembahan vokal memukau pada malam kemuncak Simunjan Youth Festival 2026 di Pentas Utama, perkarangan tempat letak kereta Dewan Mesra Simunjan pada Jumaat.
Pertandingan berkenaan menyaksikan persaingan sengit tujuh peserta dari pelbagai daerah yang tampil mempersembahkan bakat dan keunikan vokal masing-masing.
Nur Athifah Musyirah yang berasal dari Kuching berjaya menambat hati barisan juri menerusi persembahan lagu Hening Rindu, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM700.
Beliau turut meraih Anugerah Vokal Terbaik dengan menerima hadiah wang tunai RM100.
Naib juara menjadi milik Mohd Farhan Syazwan dari Sarikei yang membawa pulang RM500, manakala peserta dari Simunjan, Mohamad Haziq Sehar menduduki tempat ketiga dan menerima RM300.
Sementara itu, Mohd Syafiq Haqimi meraih Anugerah Persembahan Terbaik dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM100.
Malam kemuncak berkenaan turut diserikan dengan persembahan penyanyi jemputan khas, Lucy M dan Rina Eva serta persembahan daripada barisan juri jemputan.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengerusi Kelab Sukan Elektronik Majlis Daerah Simunjan (SDCE), Muadzzam Razali yang mewakili Setiausaha Majlis Daerah Simunjan. – EDISI UKAS