MDLA Car Free Day Galak Gaya Hidup Sihat, Perkukuh Perpaduan Komuniti
ENGKILILI: Program MDLA Car Free Day 2026 di bawah inisiatif Program MDLA One Health Promotion 2026 menjadi platform menggalakkan gaya hidup sihat, aktif serta memperkukuh hubungan dalam kalangan masyarakat setempat.
Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak, Kua Jack Seng berkata, Car Free Day bukan sekadar usaha mengehadkan penggunaan kenderaan di kawasan tertentu, sebaliknya pendekatan mengubah fungsi ruang awam menjadi tempat yang lebih aktif, selamat dan mesra komuniti.
Menurut beliau, ruang yang biasanya dipenuhi kenderaan boleh dimanfaatkan untuk aktiviti seperti berjalan kaki, berjoging, berbasikal, senamrobik, beriadah serta berinteraksi bersama keluarga dan masyarakat.
“Kalau kita mahu masyarakat yang sihat, kita perlu membudayakan aktiviti fizikal secara konsisten. Tidak semestinya kita perlu melakukan aktiviti yang berat.
“Berjalan kaki, berjoging, berbasikal, melakukan senamrobik ataupun meluangkan masa bersama keluarga di ruang awam juga merupakan langkah yang positif,” katanya ketika berucap pada program tersebut di Dewan Serbaguna Engkilili, di sini, pada Jumaat.
Kua turut menekankan aspek kesihatan bukan hanya menjadi tanggungjawab pihak hospital, doktor atau agensi kesihatan, sebaliknya bermula daripada diri sendiri, keluarga dan komuniti.
Katanya, pembangunan Lubok Antu bukan sahaja perlu memberi tumpuan kepada aspek fizikal seperti jalan raya, bangunan dan infrastruktur, tetapi turut mengambil kira peningkatan kualiti hidup rakyat melalui masyarakat yang sihat, bersatu padu, aktif dan prihatin.
Program yang menghimpunkan kira-kira 120 peserta itu turut memberi penekanan kepada penglibatan generasi muda supaya aktiviti riadah, sukan dan amalan hidup sihat dapat dijadikan sebahagian daripada budaya masyarakat sejak usia awal. -EDISI UKAS