25 Belia Pantu Sertai Program Latihan Kemahiran Penyaman Udara
PANTU: Seramai 25 belia menyertai Program Komuniti Outreach melalui Program Latihan Kemahiran Belia dalam bidang pemasangan dan penyelenggaraan penyaman udara di Dewan Sri Pantu yang berlangsung selama dua hari bermula 1 Oktober lepas.
Pengurus Sarawak Skills Sri Aman, Dexter Jagit berkata, program berkenaan memberi peluang kepada masyarakat khususnya golongan belia meningkatkan kemahiran sebagai persediaan mendapatkan pekerjaan atau menjana pendapatan tambahan.
Menurutnya, pendekatan latihan yang menekankan aspek teori dan amali membolehkan peserta memperoleh pengetahuan serta kemahiran praktikal yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian dan alam pekerjaan.
“Para peserta akan diberikan pendedahan, bimbingan dan pemantauan oleh tenaga pengajar yang berpengalaman.
“Pendekatan secara praktikal ini diharapkan dapat meningkatkan kefahaman serta keyakinan peserta untuk mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari selepas tamat kursus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan sempena pelaksanaan program tersebut di Dewan Sri Pantu pada Jumaat.
Dexter menambah, kemahiran yang diperoleh melalui program berkenaan berpotensi membuka peluang pekerjaan selain memberi ruang kepada peserta menjana pendapatan sampingan.
Jelasnya, kesungguhan dan kemahuan untuk belajar membolehkan kemahiran yang diperoleh melalui kursus ini boleh menjadi satu langkah ke arah meningkatkan taraf ekonomi dan kehidupan masing-masing
Program anjuran Sarawak Skills dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) itu bermula memberi pendedahan kemahiran teknikal kepada komuniti setempat.
Sepanjang program, peserta didedahkan kepada aspek teori dan amali berkaitan pemasangan, penggunaan peralatan serta penyelenggaraan asas sistem penyaman udara, di samping pengetahuan berkaitan kerja-kerja teknikal dalam bidang berkenaan. -EDISI UKAS