SIMUNJAN: Seramai 250 peserta pelbagai peringkat umur memeriahkan Simunjan Boiler Run 2026 yang berlangsung sempena Simunjan Youth Festival di sini, pada Sabtu.
Berteraskan tema Run to a Stronger Tomorrow, acara larian berkenaan menjadi pembuka tirai program hari kedua festival itu, sekali gus menggalakkan amalan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan masyarakat.
Pengerusi Kelab Sukan Elektronik Majlis Daerah Simunjan (SDCE), Muadzzam Razali berkata, acara tersebut mendapat sambutan menggalakkan dengan peserta terpantas berjaya menamatkan larian seawal jam 6.25 pagi.
Pelepasan peserta pada jam 6 pagi disempurnakan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee.
Simunjan Boiler Run 2026 mempertandingkan empat kategori utama iaitu Belia Lelaki, Belia Wanita, Veteran Lelaki dan Veteran Wanita.
Sebelum acara bermula, peserta turut diberikan taklimat keselamatan bagi memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang laluan larian.
Penganjuran acara berkenaan bukan sahaja memeriahkan Simunjan Youth Festival, malah menjadi platform memperkukuh penglibatan komuniti menerusi aktiviti riadah serta membudayakan gaya hidup sihat.
Turut hadir, Sarjan Mejar Abdullah Awang yang mewakili Ketua Polis Daerah Simunjan. – EDISI UKAS