MAPC Pemangkin Pelajar Bina Potensi Jadi Pemimpin Masa Depan
MIRI: Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang (MAPC) Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang 2026 menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus membina potensi diri, memperkukuh kemahiran dan mempersiapkan diri sebagai generasi pemimpin masa depan Sarawak.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti I (Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus berkata, pengiktirafan yang diterima pelajar perlu dijadikan pencetus untuk mereka terus melangkah lebih jauh dalam pendidikan dan pembangunan diri.
“Anugerah yang diterima bukanlah penamat, sebaliknya permulaan kepada perjalanan yang lebih luas.
“Saya berharap para pelajar terus memanfaatkan ilmu dan peluang yang ada untuk membentuk diri sebagai pemimpin masa depan yang mampu menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian MAPC Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang 2026 di Dewan Perdana kolej berkenaan, di sini, pada Jumaat.
Menurut Datuk Rosey, generasi muda mempunyai tanggungjawab besar untuk meneruskan perancangan pembangunan Sarawak, justeru perlu melengkapkan diri bukan sahaja dengan pencapaian akademik, tetapi juga kemahiran, nilai dan
keupayaan bersaing di peringkat global.
Katanya, peluang pendidikan yang semakin luas turut membolehkan pelajar merancang hala tuju lebih awal, termasuk menerusi Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) yang menyediakan 64 pilihan kursus berdasarkan bidang yang penting untuk keperluan masa depan negeri.
“Pelajar perlu bersedia menjadi pemain antarabangsa dan bukan sekadar pemain tempatan, selaras dengan peluang serta kemudahan pendidikan yang disediakan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Datuk Rosey mengingatkan pelajar supaya tidak hanya bergantung kepada pencapaian akademik, sebaliknya turut membina kemahiran sosial, kepimpinan dan nilai tambah bagi menghadapi cabaran masa depan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan kolej, guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), alumni serta ibu bapa atas sokongan berterusan dalam membentuk kecemerlangan pelajar secara menyeluruh.
Turut hadir Pengetua Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang, Mohamad Effendi Panglima.- EDISI UKAS