Isu Infrastruktur, Dadah dan Liputan Internet Dibangkitkan Penduduk Jemoreng
IGAN: Isu infrastruktur, penyalahgunaan dadah dan liputan internet antara perkara utama yang dibangkitkan penduduk pada Dialog Pembangunan Sarawakku Sayang Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng Siri 7 bagi Zon Igan, sekali gus mencerminkan keperluan masyarakat di peringkat akar umbi.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Dato Murshid DiRaja Datuk Dr. Juanda Jaya berkata, dialog berkenaan membuka ruang kepada penduduk menyampaikan permasalahan setempat secara langsung untuk perhatian dan tindakan susulan pihak berkaitan.
Menurut beliau, setiap isu yang dibangkitkan perlu diteliti dan disalurkan kepada agensi kerajaan mengikut bidang kuasa masing-masing bagi mengenal pasti langkah penyelesaian yang bersesuaian.
“Pelbagai isu telah dikemukakan penduduk dan perkara seperti ini perlu kita ambil maklum supaya tindakan susulan dapat dikenal pasti serta dibawa kepada agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Dialog Pembangunan Sarawakku Sayang DUN Jemoreng Siri 7 bagi Zon Igan anjuran Pejabat Daerah Matu di Dewan Masyarakat Igan, pada Khamis.
Sesi berkenaan merupakan dialog terakhir daripada siri libat urus yang bermula pada Jun lalu, melibatkan tujuh zon di kawasan DUN Jemoreng.
Datuk Dr Juanda berkata, pendekatan dialog secara langsung penting untuk memastikan suara dan keperluan penduduk terus diberi perhatian, selain memperkukuh hubungan antara masyarakat, pemimpin setempat dan agensi kerajaan.
Beliau berharap kerjasama semua pihak dapat membantu memastikan isu yang dikenal pasti ditangani secara teratur demi meningkatkan kesejahteraan masyarakat di kawasan Jemoreng.-EDISI UKAS