Peruntukan MRP Perluas Sokongan Kepada Organisasi Komuniti Igan
IGAN: Sebanyak 21 organisasi komuniti di Igan menerima peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM106,000 bagi menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, pendidikan, keagamaan dan sukan di kawasan Jemoreng.
Penyerahan peruntukan itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Dato Murshid DiRaja Datuk Dr. Juanda Jaya di Dewan Masyarakat Igan, pada Khamis.
Datuk Dr Juanda berharap semua penerima dapat memanfaatkan peruntukan berkenaan sebaik mungkin bagi melaksanakan aktiviti yang dirancang, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Menurut beliau, sokongan berterusan kepada organisasi komuniti penting dalam memperkukuh perpaduan, meningkatkan kesejahteraan masyarakat serta menggerakkan pembangunan di kawasan berkenaan.
Antara penerima peruntukan ialah enam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), iaitu Kampung Sekerang, Kampung Tengah, Kampung Pulau, Kampung Baru Ismail, Kampung Baru Dagang dan Kampung Shariff Sekerang.
Turut menerima peruntukan ialah beberapa jawatankuasa masjid dan surau, termasuk Masjid Lama Kampung Igan, Masjid Darul Falah serta surau di Kampung Sekerang, Kampung Pulau, Kampung Baru Ismail dan SMK Agama Igan.
Selain itu, peruntukan berkenaan turut disalurkan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Agama Igan dan SK Kampung Igan, selain persatuan serta kumpulan komuniti yang aktif dalam bidang keusahawanan, sukan, kebajikan dan kegiatan wanita.
Penyaluran MRP itu mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memperluas sokongan kepada organisasi akar umbi bagi memastikan aktiviti setempat dapat dilaksanakan dan manfaatnya dinikmati oleh masyarakat Igan.-EDISI UKAS