Loji Rawatan Air Basong Mukah Dinaik Taraf Kepada 120 MLD
MUKAH: Loji Rawatan Air Basong Mukah kini sedang dinaik taraf dan diperbesarkan daripada 60 juta liter sehari (MLD) kepada 120 MLD.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kerja naik taraf dan pembesaran loji tersebut kini mencatat kemajuan pembinaan sebanyak 15 peratus, mendahului jadual asal yang ditetapkan.
“Kemajuan pembinaan kini ialah pada kadar 15.0 peratus, mendahului 1.0 jadual asal 14 peratus sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan terhadap status terkini kerja naik taraf dan pembesaran Loji Rawatan Air Basong Mukah pada Jumaat.
Menurut Dato Sri Julaihi, pembesaran Loji Rawatan Air Basong Fasa 3 itu melibatkan kapasiti tambahan 60 MLD dengan menggunakan peruntukan Kerajaan Sarawak sendiri berjumlah RM243 juta.
Beliau berkata, kerja tersebut dijadualkan siap pada 15 September 2028 dan apabila siap kelak, bekalan air di Bahagian Mukah akan dapat diperkukuh.
Beliau menambah, kerja pemasangan Sistem Grid Paip Mukah turut dilaksanakan bagi menyokong pengagihan bekalan air di kawasan berkenaan.
Katanya, projek berkenaan yang bermula pada 12 Januari 2026 itu dijadualkan siap pada 11 Julai 2028 dengan menggunakan peruntukan Kerajaan Sarawak berjumlah RM294.5 juta.-EDISI UKAS