KMKK Belaga Perlu Perkukuh Integriti, Tingkat Penguasaan Digital
BINTULU: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Belaga perlu memperkukuh integriti serta meningkatkan penguasaan teknologi digital bagi memastikan penyampaian maklumat, pengurusan komuniti dan pelaksanaan pembangunan luar bandar lebih berkesan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum Kennedy Chukpai Ugon berkata, KMKK perlu menyesuaikan pendekatan kepimpinan dengan perkembangan teknologi, khususnya dalam memanfaatkan media sosial sebagai saluran komunikasi dan penyampaian maklumat kepada masyarakat.
Menurut beliau, teknologi digital seharusnya menjadi penghubung yang memperkukuh hubungan antara kerajaan dengan masyarakat, bukannya mewujudkan perpecahan dalam kalangan penduduk.
Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Seminar KMKK Daerah Belaga 2026 yang disempurnakan Timbalan Menteri Digital Malaysia merangkap Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong, di sebuah hotel, di sini, pada Jumaat.
Kennedy turut menegaskan bahawa integriti, ketelusan dan keadilan perlu menjadi asas dalam setiap tindakan KMKK, terutama ketika mengurus penyaluran bantuan kerajaan, pembangunan kampung, isu tanah adat serta pertikaian masyarakat.
Katanya, KMKK perlu melaksanakan tanggungjawab secara adil tanpa mengira latar belakang kaum, selain mengelakkan penyalahgunaan kedudukan dan amalan pilih kasih yang boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap kepimpinan setempat.
Dalam memastikan pembangunan luar bandar terus diperkukuh, beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara KMKK, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Pejabat Daerah serta agensi kerajaan bagi mengenal pasti dan menangani keperluan masyarakat secara terancang.
Sementara itu, Datuk Wilson yang turut berucap menekankan peranan KMKK sebagai penghubung antara kerajaan dengan masyarakat, khususnya dalam aspek pentadbiran, kebajikan, perpaduan, pembangunan, keselamatan dan penyampaian maklumat.
Beliau turut menggesa peserta agar mengaplikasikan ilmu yang diperoleh sepanjang seminar serta memperkukuh jaringan kerjasama bagi memastikan setiap keputusan dan tindakan yang diambil mengutamakan kepentingan masyarakat.
Seminar selama dua hari anjuran Pejabat Daerah Belaga itu menampilkan pelbagai sesi perkongsian berkaitan tanggungjawab serta peranan kepimpinan masyarakat.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil pelantikan dan penyambungan pelantikan kepada Ketua Kaum yang baharu dilantik serta yang meneruskan perkhidmatan.
Hadir sama, Residen Bahagian Kapit Elvis Didit, Pegawai Daerah Belaga Bidah Lujah serta Pengurus Perhubungan dan Konsultasi Komuniti Sarawak Energy Berhad (SEB) (Bakun HEP) Irwan Borhan.-EDISI UKAS