RM37,778 Disalur Untuk Keperluan Sekolah Dan Komuniti Jepak
BINTULU: Sebanyak RM37,778 disalurkan menerusi inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak kepada dua sekolah dan sebuah komuniti di kawasan Jepak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, sumbangan berkenaan perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi melaksanakan projek serta memenuhi keperluan yang telah dikenal pasti oleh pihak sekolah dan komuniti.
“Walaupun sumbangan ini mungkin dilihat sebagai satu bantuan pada skala tertentu, namun saya percaya ia akan banyak memberi manfaat yang dapat dirasai oleh semua pihak sama ada untuk jangka pendek mahupun jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan cek tersebut di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Segan, di sini, pada Jumaat.
Pada majlis itu, sumbangan keseluruhan berjumlah RM37,778 disalurkan kepada SK Ulu Segan, SK Sungai Silas dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Philip Bagong.
Iskandar berkata, kemudahan dan persekitaran pembelajaran yang baik dapat membantu mewujudkan suasana kondusif kepada pelajar dan guru, selain meringankan beban pihak sekolah serta ibu bapa.
Beliau turut menekankan supaya manfaat CSR tidak hanya tertumpu kepada pelajar dan program Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), malah turut membantu memenuhi keperluan guru yang ada kalanya menggunakan wang sendiri untuk keperluan sekolah.
Dalam pada itu, beliau berkata pelaksanaan CSR mencerminkan usaha menyalurkan manfaat pembangunan dan hasil kerajaan Sarawak kembali kepada masyarakat melalui kerjasama pelbagai pihak.
Sehubungan itu, beliau berharap kerjasama antara JTS Sarawak, agensi kerajaan, sekolah dan komuniti dapat diteruskan bagi memperkasakan pendidikan serta mencungkil potensi dan bakat pelajar.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada JTS Sarawak Bahagian Bintulu atas pelaksanaan program berkenaan serta mengalu-alukan kehadiran guru-guru baharu untuk terus menyumbang kepada pembangunan pendidikan di Sarawak.–EDISI UKAS