UM Stunting Kit Perkukuh Kesedaran Tumbesaran Kanak-Kanak
BETONG: Pelancaran UM Stunting Kit menerusi Program UM-ASSIST Betong Edition 2026 menjadi antara usaha memperkukuh kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memantau tumbesaran kanak-kanak serta menangani risiko masalah tumbesaran terbantut sejak awal.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, pemantauan kesihatan, pemakanan seimbang dan aktiviti fizikal perlu diberi perhatian bagi memastikan kanak-kanak membesar secara optimum.
“Kesihatan adalah kekayaan yang paling penting. Selain pemakanan, aktiviti fizikal dan senaman juga penting bagi memastikan tumbesaran serta kesihatan mental kanak-kanak berada pada tahap yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program tersebut di Dewan Panglima Rentap, Betong, pada Sabtu.
Menurut Datuk Gerald, masalah tumbesaran terbantut dan obesiti dalam kalangan kanak-kanak perlu ditangani secara serius kerana berkait rapat dengan amalan pemakanan serta gaya hidup.
Beliau menegaskan bahawa ibu bapa memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak mendapat makanan berkhasiat, selain menggalakkan aktiviti fizikal yang sesuai dengan peringkat umur mereka.
Datuk Gerald turut menekankan bahawa zaman kanak-kanak dan remaja merupakan fasa penting dalam perkembangan fizikal serta otak, justeru sokongan berterusan daripada keluarga, komuniti, institusi pendidikan dan agensi kerajaan amat diperlukan.
Sementara itu, Pengarah Pusat Jalinan Komuniti Universiti Malaya (UMCares), Profesor Madya ChM. Dr. Noraini Ahmad berkata, program berkenaan menyediakan platform pendidikan mesra komuniti untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai pertumbuhan dan kesihatan kanak-kanak.
Menurutnya, aspek pemakanan, aktiviti fizikal, kebersihan dan persekitaran yang menyokong perkembangan perlu diberi perhatian kerana kesihatan kanak-kanak turut mempengaruhi kesejahteraan keluarga serta masa depan masyarakat.
Beliau berkata, kerjasama antara universiti dengan komuniti membolehkan ilmu dan kepakaran disampaikan secara lebih dekat melalui interaksi langsung bersama keluarga dan masyarakat.
Turut hadir wakil Residen Bahagian Betong, Florence Bulan.-EDISI UKAS