UM Cadang Perluas Stunting Kit Kepada Kanak-Kanak Prasekolah
BETONG: Universiti Malaya (UM) mencadangkan peluasan penggunaan Stunting Kit kepada kanak-kanak prasekolah, termasuk melalui institusi KEMAS, bagi memperkukuh pemantauan pemakanan dan tumbesaran sejak peringkat awal.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, terdapat perbincangan untuk mengemukakan inisiatif itu kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti serta Kementerian Kesihatan bagi pertimbangan lanjut.
Menurut beliau, peluasan tersebut berpotensi meningkatkan perhatian terhadap pemakanan dan tumbesaran kanak-kanak, sekali gus menyokong perkembangan fizikal serta mental mereka sejak usia awal.
“Kit ini bertujuan membantu memastikan anak-anak kita membesar dengan sempurna dari segi fizikal dan mental supaya mereka dapat mencapai potensi yang lebih tinggi.
“Ini juga memberi pendedahan kepada masyarakat tentang pentingnya pemakanan yang berkhasiat untuk tumbesaran anak-anak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan pelancaran Stunting Kit sempena Program UM-ASSIST Betong Edition 2026 di Dewan Panglima Rentap, Betong, pada Sabtu.
Datuk Gerald berkata, inisiatif itu turut berperanan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemakanan berkhasiat dalam menyokong tumbesaran kanak-kanak serta mengurangkan risiko masalah pertumbuhan.
Beliau turut menyifatkan kesihatan kanak-kanak sebagai pelaburan penting dalam membentuk generasi yang sihat dan berdaya saing, selain berpotensi mengurangkan kebergantungan terhadap perkhidmatan hospital dan kemudahan kesihatan.
Stunting Kit yang dibangunkan oleh penyelidik dan ahli akademik UM melalui Fakulti Sains Sukan dan Sains Eksesais itu direka sebagai alat bantu kepada ibu bapa untuk memantau serta merekod pemakanan dan tumbesaran anak-anak.
Kit berkenaan mengandungi Buku Nutri Sukan 360, Carta Ketinggian Lipat, Pita Pengukur, Carta Pemakanan Sihat serta Pinggan Suku Suku Separuh sebagai panduan untuk membantu ibu bapa memahami keperluan pemakanan dan perkembangan anak-anak.
Turut hadir Pengarah Pusat Jalinan Komuniti Universiti Malaya, Profesor Madya ChM. Dr. Noraini Ahmad, Pengarah Program UM-ASSIST Betong Edition 2026, Dr. Cassendra Gilbert serta wakil Residen Bahagian Betong, Florence Bulan.-EDISI UKAS