MDMD Digesa Perkukuh Integriti, Cegah Salah Guna Kuasa
DARO: Integriti, ketelusan dan akauntabiliti perlu menjadi asas penyampaian perkhidmatan Majlis Daerah Matu dan Daro (MDMD) bagi memastikan setiap keputusan serta urusan pentadbiran dilaksanakan secara amanah tanpa penyalahgunaan kuasa.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr. Juanda Jaya berkata, warga kerja pihak berkuasa tempatan (PBT) itu perlu mengamalkan nilai integriti dalam setiap tugasan, termasuk pengurusan kewangan, rekod, aset dan urusan perolehan.
Menurutnya, integriti bukan sekadar mematuhi peraturan, sebaliknya perlu dizahirkan melalui kejujuran, disiplin, pematuhan prosedur serta penyampaian perkhidmatan yang adil, telus dan bertanggungjawab.
Beliau berkata, sebagai agensi yang berhubung secara langsung dengan masyarakat, MDMD perlu memastikan kepentingan rakyat sentiasa diutamakan dalam setiap keputusan dan tindakan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Minggu Integriti MDMD 2026 bertemakan “Integriti Teras Perkhidmatan, MDMD Maju Bersama” di Dewan Masyarakat Daro, pada Khamis.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng itu turut mengingatkan warga kerja MDMD supaya mengelakkan penyalahgunaan kuasa dan konflik kepentingan, selain menjadikan amanah serta akauntabiliti sebagai amalan berterusan.
Beliau menyambut baik penganjuran Minggu Integriti yang menggabungkan elemen pengukuhan etika perkhidmatan dengan aspek kesihatan, kebajikan dan tanggungjawab sosial.
Datuk Dr. Juanda berharap nilai integriti yang diterapkan menerusi program itu terus diamalkan dalam setiap tugas dan tindakan, sekali gus membentuk warga kerja yang bertanggungjawab serta menjadi teladan kepada masyarakat.
Antara pengisian program ialah ceramah integriti dan rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Bahagian Mukah, ceramah kesihatan mental, ceramah asas sokongan hayat serta Kempen Derma Darah.
Turut hadir Pegawai Daerah Daro Zul Usop, Pegawai Daerah Matu Hamidah Halpi serta Setiausaha MDMD Chiong Siew Ping.-EDISI UKAS