Terminal LNG Kuching Perkukuh Infrastruktur Bekalan Gas Sarawak, Gas Pertama Disasar 2029
MUKAH: Sarawak bakal memperkukuh infrastruktur bekalan gas menerusi pembangunan Terminal Gas Asli Cecair (LNG) Kuching dengan gas pertama disasarkan menjelang akhir 2029.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, projek berkenaan dibangunkan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dengan kerjasama syarikat infrastruktur tenaga maritim dari Norway yang mempunyai pengalaman lebih 50 tahun dalam pengurusan LNG terapung.
“Ini sudah kita tandatangani dengan pihak Norway dan mengikut program PETROS, kita akan mula membekalkan LNG terapung pada tahun 2029 di Kuching.
“Ini adalah sebahagian daripada kompleks karbon rendah yang kita bina di Tanjung Embang,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Mukah 2026 di sini, pada Sabtu.
Menurut beliau, pembangunan berkenaan merupakan satu lagi langkah penting dalam memperkukuh industri gas Sarawak, khususnya bagi meningkatkan nilai tambah sumber gas menerusi aktiviti hiliran.
Sarawak katanya, turut mempunyai potensi membangunkan loji LNG berskala kecil dengan memanfaatkan sumber gas sebagai bahan mentah untuk menghasilkan produk bernilai lebih tinggi.
“Kalau kita ada 'feedstock', kita gunalah 'feedstock'. Daripada situ kita boleh proses gas ini dan melakukan downstream,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, PETROS memainkan peranan penting dalam membolehkan Sarawak memahami keseluruhan rantaian industri gas dengan lebih dekat, sekali gus memastikan kepentingan negeri diambil kira dalam pembangunan sektor berkenaan.
Pada masa sama, beliau menegaskan kerjasama antara PETROS dan PETRONAS penting bagi membolehkan kedua-dua pihak bersama-sama membangunkan industri minyak dan gas.
“Banyak orang kata saya nak bunuh PETRONAS, PETROS akan mengganggu PETRONAS. Kita kongsi antara PETRONAS dengan kita.
“Kalau PETRONAS sahaja, mungkin tumpuannya lain dan tidak mengambil kira kita,” katanya.
Pada 1 Oktober lalu, PETROS mengumumkan pemeteraian Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) dengan Höegh Evi, syarikat infrastruktur tenaga maritim berpangkalan di Norway bagi membangunkan Terminal LNG Kuching sebagai sebahagian daripada Kuching Low-Carbon Hub (KLCH). -EDISI UKAS