MUKAH: Cip semikonduktor rekaan anak Sarawak kini menembusi pasaran antarabangsa apabila teknologi buatan tempatan itu dibeli untuk digunakan dalam meter elektrik di China.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pencapaian itu membuktikan keupayaan Sarawak membangunkan teknologi semikonduktor sendiri menerusi penyelidikan, inovasi dan kepakaran saintis tempatan.
“Dan insya-Allah, hari ini China sudah membeli cip kita untuk meter elektrik yang kemudiannya akan dipasarkan di China.
“Cip buatan Sarawak, reka bentuk oleh anak Sarawak dan dihasilkan oleh syarikat foundri Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Mukah di sini, pada Sabtu.
Bagi memastikan kejayaan seumpama itu dapat diteruskan, beliau menegaskan penguasaan ilmu, kemahiran dan teknologi baharu amat penting dalam memperkukuh sektor pembuatan serta memastikan anak tempatan mampu menerajui pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan.
“Sebab itu, kita memerlukan anak-anak kita yang berilmu dan berkemahiran.
“Dalam sektor pembuatan dan pertanian, kita memerlukan ilmu serta teknologi baharu untuk terus berkembang dan berdaya saing,” ujarnya.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak dan Persekutuan, Ahli-Ahli Parlimen, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, Residen Bahagian Mukah Bujang Rahman Seli, Ketua-ketua Jabatan serta tetamu yang lain. -EDISI UKAS