Perairan Mukah, Balingian Jadi Tumpuan Pelaburan Minyak & Gas
MUKAH: Perairan Mukah dan Balingian kini menjadi antara tumpuan pelaburan besar dalam sektor minyak dan gas Sarawak, didorong potensi rizab gas serta pembangunan teknologi Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, potensi sumber hidrokarbon di kawasan berkenaan meletakkannya pada kedudukan strategik dalam pembangunan industri tenaga Sarawak.
“Dari Mukah, kita pergi lebih ke selatan, ke Balingian. Di sinilah tumpuan pelaburan besar kini berada, khususnya di perairan Sarawak, meliputi kawasan Mukah dan Balingian.
“Projek CCUS juga akan dibangunkan di rantau ini, termasuk Kawasari. Ini bermakna kita mempunyai rizab gas yang besar untuk menyokong pembangunan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Mukah di sini pada Sabtu.
Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, potensi sumber gas di perairan Sarawak turut dikenal pasti berdasarkan aspek geologi, termasuk struktur dan bentuk bumi yang memberikan petunjuk terhadap kewujudan sumber hidrokarbon.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Sarawak akan terus mempertahankan haknya terhadap sumber minyak dan gas negeri.
“Saya tidak akan undur mengenai hak Sarawak mengenai minyak dan gas. Sebab itulah saya tubuhkan PETROS,” ujarnya.