Premier Sarawak Tegaskan Keputusan Berundur Bukan Disebabkan Desakan
MUKAH: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menegaskan keputusannya untuk menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini sebagai yang terakhir bukan disebabkan faktor desakan, sebaliknya faktor usia.
Beliau berkata, perkara itu telah dijelaskan ketika menghadiri Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Miri baru-baru ini.
Menurut beliau, peningkatan usia merupakan sesuatu yang semula jadi dan perlu diterima, selain kepimpinan negeri perlu diteruskan oleh pasukan yang telah dilatih.
“Semakin hari, semakin tua. Kalau boleh reverse, tidak ada hal, tetapi ini tidak boleh reverse. Jadi, kita kena terima sebagai sesuatu yang natural.
“Untuk memimpin negeri, kita mesti mempunyai pasukan. Saya dengan Datuk Patinggi Tan Sri Adenan, Datuk Amar Uggah dan yang lain sudah dilatih. Kita membangunkan negeri secara berpasukan dan kita mesti ada pasukan lagi,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Program Sarawakku Sayang Bahagian Mukah 2026, pada Sabtu.
Menjawab soalan sama ada beliau boleh mempertimbangkan untuk terus memimpin selepas 2030, Abang Johari berkata keputusan itu dibuat berdasarkan faktor usia.
“Sik. Nanggar umur lah. Kamu tahu berapa umur saya? 2030, 80 tahun.
Baiklah, pada usia itu kalau masih steady,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Wanita PBB yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah dalam ucapan aluannya merayu agar Premier Sarawak mempertimbangkan semula keputusan berkenaan.
Beliau berkata, kepimpinan Abang Johari masih diperlukan dalam meneruskan agenda pembangunan negeri, khususnya dalam memperkukuh ekonomi, kesejahteraan masyarakat dan pendidikan.
Untuk rekod, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menjadi Ketua Menteri Sarawak sejak 2017 dan menjadi Premier Sarawak Sejak 2022 sehingga sekarang.
Beliau mula menyertai politik pada 1977 dan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selepas memenangi Pilihan Raya Kecil DUN Satok pada 1981.-EDISI UKAS