Kuching FA Juara Liga Premier Sarawak 2026 Zon Selatan
KOTA SAMARAHAN: Kuching FA muncul juara Zon Selatan Liga Premier Sarawak 2026 (SPL 2026) selepas menundukkan finalis musim lalu, Samarahan FA, 1-0 pada aksi penentuan di Stadium Mini Samarahan, pada petang Sabtu.
Kemenangan tersebut membolehkan Kuching FA menamatkan saingan Zon Selatan dengan rekod tanpa kalah serta mengumpul 16 mata untuk kekal di tangga teratas kumpulan.
Mohamad Nur Raziman Razali muncul wira Kuching FA apabila meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-15 untuk memberikan kelebihan kepada pasukannya.
Aksi babak pertama berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan serta mencipta beberapa peluang untuk membuka tirai jaringan.
Kuching FA akhirnya memecah kebuntuan apabila Mohamad Nur Raziman Razali bijak menolak bola ke gawang Samarahan selepas penjaga gol, Muhammad Ikhwan Najmi Azlan, gagal menangkap kemas bola di kawasan berbahaya.
Memasuki babak kedua, Samarahan FA tampil lebih agresif dan menguasai sebahagian besar permainan dalam usaha mencari gol penyamaan.
Tuan rumah mempunyai sehingga enam peluang untuk mencipta jaringan, namun ketumpulan penyudah menyaksikan kesemua peluang tersebut gagal diterjemahkan kepada gol.
Kuching FA pula terus bertahan dengan disiplin tinggi bagi mengekalkan kelebihan satu gol sehingga wisel penamat dibunyikan.
Ketua Jurulatih Kuching FA, Mohammad Dzulazlan Ibrahim menyifatkan kemenangan tersebut sebagai sesuatu yang amat bermakna buat pasukannya.
“Cukup gembira dengan kemenangan yang diperoleh pemain. Tiga mata yang amat berharga bagi kami untuk kekal di tangga teratas dan muncul juara Zon Selatan SPL 2026,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan tersebut.
Menurut beliau, kesemua pemain telah melaksanakan tugas dengan begitu sempurna sepanjang perlawanan walaupun berdepan tekanan hebat daripada pasukan tuan rumah.
Kejayaan 1-0 itu sekali gus menutup kempen Zon Selatan SPL 2026 buat Kuching FA, manakala Samarahan FA terpaksa akur dengan keputusan tersebut di hadapan penyokong sendiri. -EDISI UKAS