Hari Kedua Simunjan Youth Festival 2026 Terus Meriah
SIMUNJAN: Hari kedua Simunjan Youth Festival 2026 berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti yang menggabungkan elemen sukan, e-sukan, kecergasan, seni mempertahankan diri, kebudayaan dan hiburan.
Festival yang berlangsung di sekitar Dewan Mesra Simunjan, Dewan Setia Simunjan dan Arena Sri Nancy itu menghimpunkan kira-kira 1,000 pengunjung dari jam 8 pagi hingga 11 malam pada Sabtu.
Seawal pagi, pentas utama di perkarangan tempat letak kereta Dewan Mesra Simunjan mula dipenuhi peserta Simunjan Boiler Run yang memulakan dan menamatkan larian di lokasi berkenaan.
Pada masa sama, penggemar e-sukan berentap dalam pertandingan MLBB dan EAFC26 yang berlangsung di Dewan Setia, manakala pertandingan bola jaring diadakan di Arena Sri Nancy.
Di Dewan Mesra Simunjan, pengunjung berpeluang mendapatkan perkhidmatan menerusi Program Gunting Rambut Secara Percuma, selain mengunjungi Pameran Agensi dan NGO yang turut menjadi antara pengisian festival.
Tidak ketinggalan, Showcase Kuntau di Dewan Mesra Simunjan mengetengahkan seni tradisi dan warisan menerusi persembahan yang menarik perhatian pengunjung.
Sebelah petang menyaksikan kemeriahan diteruskan apabila pertandingan MLBB dan EAFC26 kembali berlangsung di Dewan Setia, sementara saingan bola jaring diteruskan di Arena Sri Nancy.
Pentas Utama pula menyajikan Showcase Demonstrasi Seni Mempertahankan Diri – Mr. Sapok Biki yang memberi peluang kepada pengunjung menyaksikan demonstrasi seni mempertahankan diri secara langsung.
Acara kemudiannya diteruskan pada sebelah malam dengan majlis perasmian festival yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris di pentas utama.
Turut menjadi tumpuan ialah Pertandingan Ratu Kebaya ‘Elegance In Motion’ yang menampilkan peserta dalam busana kebaya, diikuti persembahan penyanyi jemputan, Shidi Data.-EDISI UKAS