Phynterliana Agatha Dinobat Juara Ratu Kebaya Simunjan Youth Festival
SIMUNJAN: Phynterliana Agatha dinobatkan sebagai juara Pertandingan Ratu Kebaya yang menjadi antara acara kemuncak malam kedua Simunjan Youth Festival.
Kemenangan itu membolehkan beliau membawa pulang wang tunai RM700, mahkota, trofi, sejambak bunga dan selempang Ratu Kebaya.
Beliau turut merangkul anugerah sampingan Best Kebaya dengan membawa pulang wang tunai RM100.
Pertandingan bertemakan ‘Elegant in Motion’ pada malam Sabtu itu menampilkan sembilan finalis dari beberapa daerah termasuk Padawan, Simunjan, Balai Ringin, Lundu, Kuching dan Serian.
Kesemua peserta dinilai berdasarkan beberapa kriteria utama antaranya penampilan dan kecantikan, busana kebaya, gaya dan keyakinan di pentas, personaliti dan komunikasi serta kreativiti dan penghayatan tema.
Sementara itu, Intan Syafiqah Yunus muncul naib juara dan membawa pulang wang tunai RM500, mahkota serta sejambak bunga.
Tempat ketiga pula dimenangi wakil tuan rumah, Rabbani Mariani dari Simunjan yang menerima wang tunai RM300 serta mahkota.
Bagi anugerah sampingan, Mervelynnersty Miszwanna memenangi kategori Best Runway dan membawa pulang wang tunai RM100 serta mahkota.
Malam festival turut dimeriahkan dengan persembahan penyanyi jemputan, Shidi Data yang menghiburkan para pengunjung.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris bersama isteri, Napsiah Abang Kaderi, Pegawai Daerah Simunjan Sanuyah Mohamad, Pemangku Setiausaha Majlis Daerah Simunjan Sabli Razak, Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Simunjan Kr. Mohammad Zaini Morshidi, Presiden Kelab Sukan Elektronik Majlis Daerah Simunjan merangkap Pengerusi Penganjur Muadzam Razali. -EDISI UKAS