Belia Penggerak Masa Kini, Bukan Sekadar Pewaris Masa Hadapan
SIMUNJAN: Golongan belia bukan sekadar pewaris masa hadapan, sebaliknya merupakan tenaga penggerak yang berperanan mencorakkan pembangunan masyarakat pada masa kini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata, golongan muda perlu diberi ruang dan peluang untuk membina potensi diri agar menjadi generasi aktif, berdisiplin, berkemahiran serta berani meneroka bidang baharu.
Menurutnya, penganjuran Simunjan Youth Festival 2026 menjadi antara platform terbaik untuk menghimpunkan golongan belia dan masyarakat menerusi pelbagai aktiviti merangkumi sukan, keusahawanan, seni dan kemasyarakatan.
“Gunakanlah program seperti ini sebagai tempat untuk membina jaringan persahabatan, menunjukkan bakat, mencari pengalaman serta membuka peluang baharu dalam bidang sukan, seni, keusahawanan, teknologi dan kepimpinan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Pegawai Daerah Simunjan, Sanuyah Mohamad sempena majlis perasmian Simunjan Youth Festival 2026 di Pentas Utama, perkarangan tempat letak kereta Dewan Mesra Simunjan pada Sabtu.
Awla turut menasihati golongan belia supaya tidak takut untuk bermula dari bawah serta tidak mudah berputus asa apabila berdepan kegagalan dalam usaha mencapai kejayaan.
Katanya, setiap program yang dianjurkan juga perlu memberi manfaat kepada pelbagai pihak khususnya peniaga kecil, belia dan masyarakat setempat, selain memperkukuh hubungan serta semangat kebersamaan dalam komuniti.
Beliau berkata, festival berkenaan turut mempunyai nilai signifikan kerana menjadi sebahagian daripada pengisian sambutan Samarahan Maju Makmur 40 Tahun (1986–2026).
Menurutnya, pembangunan sebenar bukan hanya diukur melalui penyediaan kemudahan fizikal seperti jalan raya dan bangunan, tetapi turut merangkumi pembangunan modal insan, perpaduan masyarakat serta pembentukan generasi muda yang berkeyakinan dan berdaya saing.
Sehubungan itu, beliau berharap Simunjan Youth Festival dapat diteruskan dan diperkasakan pada masa akan datang sebagai platform mencungkil bakat baharu serta melahirkan generasi muda yang kreatif, berkemahiran dan berdaya saing.
Festival selama tiga hari itu menampilkan pelbagai pengisian termasuk perkhidmatan gunting rambut percuma, pameran agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertandingan Aerodance, ping pong, Simunjan Weightloss Challenge serta The Voice Simunjan.
Ruang jualan yang dibuka sejak 30 September pula memberi peluang kepada peniaga dan usahawan tempatan untuk mempromosi serta memasarkan produk masing-masing.
Hadir sama, ADUN Simunjan, Awla Dris bersama isteri, Napsiah Abang Kaderi; Pemangku Setiausaha Majlis Daerah Simunjan, Sabli Razak, Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Simunjan, Kr. Mohammad Zaini Morshidi dan Presiden Kelab Sukan Elektronik Majlis Daerah Simunjan merangkap Pengerusi Penganjur, Muadzam Razali.-EDISI UKAS