PETROS, PETRONAS Boleh Beroperasi Bersama Dalam Kerangka Undang-Undang dan Komersial Masing-Masing
KUCHING: Peranan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) sebagai agregator gas Sarawak tidak bermakna Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) perlu disingkirkan, sebaliknya kedua-dua entiti boleh terus beroperasi dalam kerangka undang-undang dan komersial masing-masing.
Ahli Dewan Negara Senator Dato’ Ahmad Ibrahim berkata, PETRONAS terus melaksanakan fungsi dan tanggungjawabnya di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974), manakala PETROS diiktiraf sebagai agregator gas Sarawak berkuat kuasa 1 Mac 2025 serta susunan eksport gas asli cecair (LNG) PETRONAS yang sedia ada juga tidak terjejas.
Menurut beliau, perkara itu turut mengambil kira Deklarasi Bersama yang ditandatangani Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 21 Mei 2025 yang mengiktiraf undang-undang Persekutuan dan Sarawak berkaitan pengagihan gas di Sarawak untuk wujud bersama dan dihormati.
“PETROS mempunyai peranan yang sah di dalam Sarawak tidak bermakna PETRONAS mesti berhenti menjadi syarikat petroleum nasional Malaysia.
“Kedua-duanya boleh beroperasi dalam kerangka undang-undang dan komersial masing-masing
“Malah, itulah yang dibayangkan dan diusahakan melalui Deklarasi Bersama tersebut,” katanya dalam kenyataan berhubung isu PETRONAS, PETROS serta kedudukan Sarawak dalam sektor minyak dan gas yang dikeluarkan pada Ahad.
Senator Dato’ Ahmad menambah, perbincangan mengenai kedudukan PETRONAS dan PETROS juga perlu mengambil kira sejarah serta kerangka perundangan Sarawak yang telah wujud sebelum pembentukan Malaysia, termasuk Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO 1958).
Menurutnya, persoalan berkaitan bidang kuasa perundangan dan kawal selia minyak dan gas antara Sarawak dan Persekutuan kini turut menjadi perkara yang perlu ditentukan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Akta Malaysia 1963, perundangan berkaitan serta tafsiran mahkamah.
Beliau turut menegaskan perkara itu tidak seharusnya dilihat sebagai pertandingan PETRONAS lawan PETROS, apatah lagi Malaysia lawan Sarawak.
“PETRONAS telah memainkan peranan yang amat penting kepada Malaysia dan sewajarnya terus memainkan peranan tersebut.
“PETROS pula mempunyai tanggungjawab yang sah untuk memperluas penyertaan Sarawak serta memajukan kepentingan Sarawak dalam industri minyak dan gasnya sendiri mengikut undang-undang.
“Kewujudan dan peranan satu pihak tidak memerlukan pihak yang lain dimusnahkan,” ujarnya.-EDISI UKAS