Pendidikan Awal Penting Cegah Penyalahgunaan Dadah
BAU: Pendidikan dan kesedaran mengenai bahaya dadah serta penyalahgunaan substans perlu diterapkan sejak di bangku sekolah bagi membolehkan golongan remaja mengenal pasti risiko dan membuat keputusan tepat ketika berdepan tekanan serta cabaran kehidupan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep berkata, intervensi awal penting memandangkan golongan remaja kini terdedah kepada pelbagai cabaran termasuk tekanan emosi, buli, penyalahgunaan substans dan tingkah laku berisiko.
Menurutnya, pendedahan pada peringkat awal penting ketika golongan berkenaan sedang melalui fasa pembentukan pemikiran, sikap dan keupayaan membuat keputusan.
“Apabila kita bercakap tentang kesihatan remaja, kita sebenarnya sedang bercakap tentang keluarga dan masyarakat kita pada masa akan datang.
“Sebab itu saya melihat program seperti ‘Muda, Sihat, Selamat’ sebagai satu usaha yang baik untuk memberikan pendedahan kepada remaja lebih awal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Penutupan Program Sihat Remaja ‘Muda, Sihat, Selamat’ Peringkat Daerah Bau di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Bau pada Sabtu.
Datuk Henry menambah, usaha menangani penyalahgunaan dadah dan substans tidak boleh digalas oleh satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama menyeluruh melibatkan keluarga, sekolah, agensi kerajaan, pihak berkuasa dan komuniti.
Katanya, pendekatan Community Development and Intervention Centre – One Stop Committee bagi Menangani Isu Dadah dan Substans (CDIC OSC MIDS) turut memberi penekanan kepada aspek pencegahan, pendidikan, intervensi, rawatan dan pemulihan secara bersepadu.
“Masalah dadah dan substans bukan sesuatu yang boleh diselesaikan oleh satu agensi sahaja.
“Apabila semua pihak memainkan peranan masing-masing dan saling bekerjasama, kita akan lebih mudah mengenal pasti masalah lebih awal dan membantu mereka yang memerlukan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memberi perhatian terhadap kemunculan New Psychoactive Substances (NPS), termasuk bahan yang boleh disamarkan dalam bentuk produk cecair atau peranti vape.
Menurutnya, perkembangan berkenaan menuntut pendidikan pencegahan sentiasa dikemas kini bagi memastikan golongan muda memahami bentuk ancaman baharu dan risiko yang mungkin dihadapi.
Pada masa sama, ibu bapa dan penjaga disaran meluangkan lebih banyak masa berkomunikasi dengan anak-anak, memahami cabaran yang mereka hadapi serta memberikan sokongan sewajarnya sekiranya berdepan masalah.
Beliau turut menekankan kepentingan sokongan berterusan daripada keluarga dan komuniti kepada individu yang telah menjalani proses rawatan dan pemulihan bagi membantu mereka kembali menjalani kehidupan secara normal.
Sehubungan itu, Datuk Henry berharap kerjasama antara sektor kesihatan, pendidikan, keluarga, agensi kerajaan dan komuniti di Daerah Bau terus diperkukuh supaya usaha pencegahan serta intervensi terhadap penyalahgunaan dadah dan substans dapat dilaksanakan secara berterusan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan Program Sihat Remaja ‘Muda, Sihat, Selamat’ yang menjadi platform meningkatkan kesedaran golongan muda mengenai aspek kesihatan, kesejahteraan dan keselamatan diri.
Turut hadir, Pegawai Perubatan merangkap Ketua Seksyen Pembangunan Kesihatan Keluarga, Dr Nazibah Baharin mewakili Pegawai Kesihatan Bahagian Kuching; Pegawai Daerah Bau, Eddy Nayoi; Pegawai Kesihatan Daerah Bau, Dr Irwilla Ibrahim dan Penolong Setiausaha, Fauziah Keepli mewakili Setiausaha Tetap Kementerian Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti serta Majlis Pembangunan Sosial Sarawak.-EDISI UKAS