Industri Muzik Iban Berpotensi Jana Ekonomi, Pelihara Warisan Budaya
BETONG: Industri muzik Iban berpotensi membuka peluang ekonomi baharu kepada generasi masa kini dan akan datang, selain menjadi wadah penting dalam memelihara warisan seni serta identiti budaya masyarakat Iban.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Penaung Utama Anugerah Carta Sapa Juara (ACSJ), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, usaha memperkasa industri muzik Iban perlu dilaksanakan secara menyeluruh melalui pembangunan bakat baharu, pemasaran karya berkualiti dan pembentukan ekosistem seni yang progresif.
Menurut beliau, penganjuran ACSJ merupakan platform penting untuk mengiktiraf karya serta bakat penyanyi Iban yang berpotensi mengembangkan industri muzik tempatan.
Beliau berkata demikian menerusi amanat yang disampaikan oleh Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas pada pentas akhir ACSJ Ke-9 yang berlangsung di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, di sini, pada Sabtu.
Mengangkat tema ‘Ngelatika Industri Muzik Iban’ atau Memartabatkan Industri Muzik Iban, penganjuran edisi kali ini turut memberi penekanan kepada usaha melahirkan tenaga profesional industri serta memastikan nilai ekonomi dapat dikembalikan kepada penggiat seni dan komuniti setempat.
Pada pertandingan itu, kumpulan Tanah Berenyang dinobatkan sebagai juara menerusi lagu Arissa, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 berserta trofi.
Mawat menerusi lagu Dayang Bintang menduduki tempat kedua dengan hadiah wang tunai RM8,000 berserta trofi, manakala Phoebe Chloe meraih tempat ketiga menerusi lagu Diempu Nuan Siku dengan ganjaran RM5,000 berserta trofi.
Mawat turut meraih tiga pengiktirafan sampingan, iaitu Finalis ACSJ Ke-9 Paling Popular, Lagu ACSJ Paling Popular dan Persembahan Terbaik.
Bagi kategori individu, Winnie Albert memenangi Vokal Terbaik menerusi lagu Aku Ukai Lulung, Joannes Johnny Aman menerima anugerah Lirik Terbaik menerusi lagu Bisi Intan Dikembuan, manakala Ramles Walter dinobatkan sebagai Artis ACSJ Paling Sporting.
ACSJ Ke-9 menawarkan keseluruhan hadiah bernilai RM77,000 menerusi sembilan kategori, sekali gus menjadi platform mengetengahkan bakat dan kreativiti penggiat muzik Iban.
Turut hadir Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Sarawak, Datu Jack Aman Luat, Pegawai Daerah Betong, Laga Kueh, wakil Pengarah Penyiaran Sarawak, Razali Baba serta Presiden Persatuan Alumni Dayak Universiti Malaya (PADUM) selaku Rakan Strategik ACSJ Ke-9, Coolplay Nyipa.-EDISI UKAS